Sebanyak 359 mangsa melibatkan 91 keluarga dipindahkan di lima pusat pemindahan di negeri ini selepas rumah mereka dilanda banjir pagi tadi berikutan hujan lebat lebih tiga jam dan fenomena air pasang besar.

Penolong Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Melaka, Mejar Jafri Mohamed berkata lima pusat pemindahan tersebut melibatkan tiga di daerah Melaka Tengah dan dua di daerah Jasin termasuk jumlah teramai mangsa yang dipindahkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Mahkota, Serkam.

Beliau berkata di Melaka Tengah 31 mangsa melibatkan enam keluarga dipindahkan di Balai Raya Peringgit; 32 mangsa, 12 keluarga di Surau Kampung Permatang, Duyong dan 24 mangsa, enam keluarga di Surau Al Jariah, Solok Bkt Baru, Duyong.

"Di Jasin 59 mangsa melibatkan 17 keluarga ditempatkan di SMK Dang Anum, Merlimau dan 213 mangsa melibatkan 50 keluarga ditempatkan di SMK Sri Mahkota, Serkam," katanya ketika dihubungi Bernama pada 8 malam ini.

Beliau berkata kesemua mangsa berpindah kira-kira 11 pagi tadi apabila air naik sehingga satu meter sejak pukul tujuh pagi.

BACA: Lebih 1,000 rumah dilanda banjir di Melaka

Jafri berkata banjir berlaku berpunca akibat hujan lebat yang mula turun secara berperingkat sejak empat pagi tadi.

Beliau berkata keadaan bertambah buruk apabila berlaku air pasang besar kira-kira pukul 11 pagi.

"Pintu air di muara sungai terpaksa ditutup akibat air pasang besar menyebabkan limpahan air banjir tidak dapat dialirkan ke laut," katanya.

Beliau berkata jalan utama di Peringgit yang dinaiki air sudah boleh dilalui oleh semua kenderaan.

Bilik Gerakan Negeri di Kota Cemerlang beroperasi 24 jam seperti biasa.