Sebanyak 1,972 murid dan 176 guru terjejas banjir yang melibatkan lapan buah sekolah rendah di empat daerah di Sabah yang ditutup ekoran hujan berterusan sejak awal pagi semalam.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Datuk Jame Alip berkata, sekolah yang terletak di Kota Kinabalu, Papar, Kota Belud dan Beaufort ditutup disebabkan kawasan sekolah ditenggelami air dan tanah runtuh di laluan jalan masuk ke sekolah.

"Kota Kinabalu melibatkan empat buah sekolah iaitu SK St Catherine, SK Gudon, SK Rampayan dan SK Natai; SK Sumbiling di Papar dan SK Menunggui, Kota Belud manakala di Beaufort, SK Tamalang dan SK Lembah Poring," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis dialog dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, di Wisma Pendidikan Likas dekat sini hari ini.

Jame berkata, dua buah sekolah iaitu SK Tudan di Kiulu dan SK St Anthony di Penampang turut terjejas akibat tanah runtuh awal pagi tadi, bagaimanapun tidak melibatkan pelajar dan guru.

Katanya, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) diminta menghantar laporan kepada Jabatan Pendidikan selewat-lewatnya hari ini bagi permohonan peruntukan Kementerian Pendidikan untuk membina kawasan sementara di sekolah berkenaan.

Dalam pada itu, Jame berkata, skrip jawapan bagi peperiksaan ulangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di tiga buah sekolah iaitu SK Semayan dan SK Balambangan di Pulau Bangi serta SK Pulau Mantanani di Kota Belud masih berada di sekolah itu berikutan keadaan laut yang bergelora menyukarkan proses penghantaran.

Beliau berkata, semua calon telah selesai menduduki peperiksaan dan skrip jawapan akan dihantar apabila keadaan cuaca mengizinkan.

Sementara itu, JPNS menyediakan pelan tindakan bagi menghadapi peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang bermula Isnin depan, berikutan keadaan cuaca dan hujan yang berterusan di sekitar Sabah.

Jame memebritahu, setiap Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) telah diarahkan untuk mengaktifkan Jawatankuasa Bencana Alam dengan serta-merta bagi memudahkan pihaknya mendapatkan laporan terkini situasi banjir di negeri ini.

"PT3 tetap akan terus berjalan, tetapi kita ada pelan tindakan A, B, C. Kita akan tempatkan pelajar ini supaya dapat mengikuti dan menduduki peperiksaan," katanya.