Sektor pelancongan di Pantai Timur tidak terjejas akibat banjir dan kenaikan paras air kerana produk pelancongan bukan hanya tertumpu kepada kawasan rekreasi semata-mata.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik menjelaskan, ada tempat yang tidak dilanda banjir yang boleh dilawati semasa cuti sekolah sama ada di Kelantan, Terengganu atau Pahang.

Bahkan produk makanan dan tarikan pelancongan seperti bangunan dan tempat bersejarah masih boleh dilawati sewaktu musim tengkujuh.

“Kalau musim tengkujuh buat pelancongan dalaman seperti berbentuk dewan atau restoran, ia sekali gus boleh mempromosikan makanan di restoran berkenaan.

"Tidak semestinya pada musim tengkujuh semua aktiviti perlu dihentikan.

“Banyak aktiviti yang berbentuk dalaman seperti sukan dan pertandingan (boleh dilakukan) dan ini tidak menghalang pelancong untuk datang ke negeri ini,” katanya ketika ditemui pada majlis perjumpaan dengan penggiat industri pelancongan dan Kelab Pacuan Empat Roda di sini malam tadi.

Hujan berterusan di pantai Timur menyaksikan beberapa kawasan di Kelantan dan Terengganu terjejas kerana banjir termasuk kawasan tumpuan pelancongan.

Menurut Muhammad Bakhtiar lagi, tiada alasan untuk membatalkan lawatan ke Kelantan atau Terengganu atas alasan banjir kerana hanya kawasan tertentu sahaja yang dilanda banjir.