Keadaan banjir di Kelantan semakin pulih dengan jumlah mangsa yang masih berada di tujuh pusat pemindahan kini tinggal 184 orang daripada 44 keluarga setakat jam 5 petang tadi.

Hanya dua jajahan di Kelantan masih dilanda banjir iaitu Tanah Merah dan Kuala Krai.

Jajahan Tanah Merah mencatatkan 42 mangsa manakala Kuala Krai 142 yang merupakan penduduk dari Kampung Olak Jeram, Dabong dan Mengkebang.

Bacaan paras air sungai utama Kelantan menunjukkan penurunan, namun Sungai Kelantan di Tangga Krai dan Sungai Golok di Rantau Panjang masih mencatatkan bacaan pada paras bahaya.

Sementara itu, Sungai Kelantan di Dabong, Tualang dan Jambatan Guilemard mencatatkan bacaan pada paras amaran dengan trend menurun.

Setakat ini, laluan dari Gua Musang-Dabong melalui Pulau Setelu masih lagi ditutup susulan Jambatan Pulau Setelu yang masih tenggelam.

Selain itu, lima jalan kampung di jajahan Pasir Mas, Kuala Krai dan Tanah Merah juga ditutup kerana masih digenangi air.

Dalam pada itu, jalan utama yang lain, terutama jalan Gua Musang–Kota Bharu, Pasir Puteh-Kota Bharu dan Jeli-Kota Bharu sudah boleh dilalui kenderaan.

Dalam perkembangan lain, bantuan daripada pelbagai pihak dalam meringankan beban mangsa banjir terus dihulurkan.

Pertubuhan Kerabat Long Yunus dan warga Melayu Kelab Motosikal Sungai Petani, Kedah dan Pertubuhan Ayahanda-Anakanda Malaysia menghulurkan bantuan berupa makanan dan barang keperluan.

Menurut Presiden Pertubuhan Ayahanda-Anaknda Malaysia, Datuk Suzainal Adnan Sukri, pihaknya menyediakan treler dengan lebih 500 kampit beras untuk diagihkan kepada mangsa banjir di Kelantan.

Peringkat pertama bantuan tersebut disampaikan kepada mangsa banjir di jajahan Pasir Mas.