Tutup

Banjir kilat: 25 mangsa di Sungai Rokam dipindahkan

Banjir kilat: 25 mangsa di Sungai Rokam dipindahkan
Menurut jurucakap JBPM Perak, anggota bomba telah membantu mengeluarkan sembilan orang mangsa banjir dari kediaman mereka untuk dipindahkan ke pusat pemindahan. Foto ihsan JBPM.
IPOH: Seramai 25 penduduk dari enam keluarga di Kampung Sungai Rokam di sini dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) apabila rumah mereka dilanda banjir kilat kira-kira 1.2 meter malam tadi.

Banjir dikatakan berpunca daripada hujan lebat luar biasa yang bermula kira-kira jam 5 petang Rabu.

Hujan lebat dikatakan turut menyebabkan air Sungai Pinji di kampung itu melimpah.


Air naik memasuki rumah sehingga empat kaki tinggi. Foto ihsan JBPM
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 6.37 petang.

“Banjir kilat melibatkan enam buah rumah telah dimasuki air banjir setinggi empat kaki.
“Seramai sembilan mangsa telah dikeluarkan oleh anggota bomba manakala mangsa yang lain telah berpindah sendiri,” katanya.

Anggota bomba membantu menyelamatkan mangsa banjir yang rumah mereka dinaiki air. Foto ihsan JBPM

Menurutnya, mangsa ditempatkan di PPS di Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Rokam dan pemantauan masih diteruskan.

Exco kerajaan negeri Perak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Rapat, Datuk Seri Ir Mohamad Nizar Jamaludin meluangkan masa melawat mangsa di pusat pemindahan.

Mohd Nizar (kemeja putih) melawat mangsa banjir di pusat pemindahan. Foto ihsan JBPM