Hujan lebat sejak malam tadi menyebabkan beberapa kawasan sekitar bandaraya George Town pagi ini dinaiki air pada ketinggian antara 0.2 dan 0.3 meter.

Antara yang turut terjejas ialah di Bayan Baru, Bayan Lepas, Sungai Pinang, Batu Feringghi, termasuk beberapa kawasan di Seberang Perai.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak berkata, hujan lebat disusuli angin kencang itu turut mengakibatkan beberapa kejadian pokok tumbang di kawasan Paya Terubong awal pagi tadi.

Menurut bomba, antara kawasan paling terjejas adalah di Jalan P Ramlee dengan air dilaporkan naik sehingga 0.3 meter iaitu mencecah paras bahaya, namun keadaan masih terkawal.

Katanya, pasukan bomba telah menempatkan bot-bot penyelamat di kawasan berkenaan bagi membantu orang ramai yang terperangkap dalam banjir, termasuk mengangkut pelajar ke sekolah.

Laporan yang dikeluarkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri menunjukkan paras Sungai Pinang dan Sungai Air Itam berada di paras bahaya dengan bacaan 3.2 meter bagi Sungai Pinang dan 7.341 bagi Sungai Air Itam.

Sementara itu, kejadian tanah runtuh yang berlaku di Apartment Medan Fettes, Tanjung Bungah pagi tadi telah menyebabkan enam kenderaan yang diparkir di kawasan berhampiran tertimbus.

Hujan yang masih renyai-renyai serta air yang turun dari kawasan atas bukit menyebabkan kerja-kerja mengeluarkan kenderaan yang tertimbus mengalami kesukaran.

Orang ramai juga diminta mngubungi talian Hotline Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di talian 04-263 7000 sekiranya ingin membuat aduan mengenai banjir, tanah runtuh dan kejadian pokok tumbang.