Empat keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara selepas rumah mereka di Kampung Piandang, Seputeh, di sini, dilanda banjir kilat mulai jam 6 petang Isnin.

Menurut jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kinta, hujan lebat pada sebelah petang menyebabkan air Sungai Bangkong melimpah ke kawasan kediaman mereka.

Keadaan itu menyebabkan rumah-rumah yang terlibat dinaiki air kira-kira satu meter.

Mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan di Dewan Orang Ramai Kampung Piandang mulai jam 8 malam dengan bantuan pelbagai agensi seperti Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak.

Menurut jurucakap itu malam tadi, pemantauan diteruskan untuk menghadapi sebarang kemungkinan memandangkan keadaan masih hujan di kawasan itu.