Kira-kira 62 penduduk terjejas apabila penempatan mereka dinaiki air akibat banjir kilat di Kampung Salung, Nabawan, hari ini.

Difahamkan, banjir kilat yang melanda sejak jam 5 pagi itu turut menjejaskan beberapa kenderaan milik penduduk kampung berkenaan.

Air turut dikatakan naik sehingga hampir tiga meter susulan hujan lebat sejak malam Selasa lalu.

Pegawai Daerah Nabawan, Virus Malitam ketika dihubungi berkata, pihaknya dimaklumkan terdapat lapan rumah penduduk yang terjejas namun tiada sebarang pemindahan dilakukan setakat ini.

"Berdasarkan laporan yang kami terima setakat ini, jumlah mangsa banjir terlibat adalah seramai 21 lelaki dan 22 perempuan dewasa serta 19 kanak-kanak.

"Bagaimanapun, tiada pemindahan mangsa dilaksanakan, namun persediaan tetap dilakukan dengan mengenal pasti sebuah Gereja SIB, Kampung Sabuluh yang mempunyai kapasiti 40 orang sekiranya diperlukan," katanya.

Tambah beliau, pihaknya sudah mengadakan kerjasama dengan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysa (APM) untuk membantu penduduk yang terjejas.

Mengulas lanjut, untuk sebarang situasi terkini, khidmat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pejabat Perkhidmatan Kebajikan Am Daerah Nabawan, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) juga tersedia dari semasa ke semasa.

"Pihak APM juga telah memaklumkan kepada mangsa terlibat supaya mereka naik ke lokasi lebih tinggi bagi mengelakkan sebarang risiko sekiranya cuaca buruk berterusan," katanya.