Hujan lebat tanpa henti sejak petang Khamis mengakibatkan beberapa kawasan di daerah seperti Penampang, Kota Belud, Sepanggar dan Papar banjir kilat malam tadi.

Hasil tinjauan Astro AWANI di Jalan Pintas Penampang dan Kampung Nosob, di sini, menyaksikan air mulai naik sehingga mencecah paras lutut, mengakibatkan sekumpulan penduduk mengambil inisiatif untuk berpindah ke lokasi selamat.

Laluan ke bulatan Siga, berhampiran Jalan Lintas Penampang menuju ke Pekan Donggongon, di sini, turut tidak dapat dilalui selain menyebabkan puluhan kenderaan terpaksa berpatah balik menggunakan jalan alternatif.

Keadaan banjir kilat di sekitar Jalan Pintas Penampang dan Kampung Nosob, Penampang, malam tadi.
Dalam kenyataan media, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah, Kolonel (PA) Kamal Mokhtar mengesahkan sebuah kampung di Penampang iaitu Kampung Tuavon terjejas akibat banjir kilat tersebut.

Menurut beliau, di Kota Belud pula, sebanyak 17 buah perkampungan kini dalam pemerhatian pihaknya memandangkan situasi terkini cuaca masih hujan lebat.

Antara perkampungan tersebut adalah Kampung Siasai Tamu, Kampung Bobot, Kampung Ejuk, Kampung Linkodon, Kampung Marajah dan Kampung Keranjangan.

Jelasnya lagi, tiada Pusat Penempatan Sementara (PPS) dibuka setakat ini.