Banjir kilat melanda jalan utama di pusat bandar raya di sini hari ini, sekali gus menyebabkan berpuluh-puluh kenderaan terkandas.

Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan ACP Sulaiman Salleh berkata hujan lebat luar biasa bermula 12 tengah hari sehingga 1.30 petang menyebabkan air naik sehingga 1.5 meter dan sekurang-kurangnya 20 kereta dipercayai terperangkap dalam kejadian itu.

"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Antara jalan yang dinaiki air adalah Jalan Wong Ah Fook yang menjadi tumpuan orang ramai dan di situ terletaknya pusat beli-belah Johor Bahru City Square dan Komtar JBCC.

"Beberapa jalan berdekatan menghala ke kedua-dua kompleks tersebut turut dinaiki air," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sulaiman berkata ekoran kejadian itu, para pengguna jalan raya dinasihati menggunakan laluan alternatif dan anggota trafik turut mengawal aliran lalu lintas di kawasan berkenaan.

Sulaiman berkata laluan satu lorong di Jalan Wong Ah Fook dibuka semula kepada lalu lintas pada 2.15 petang selepas banjir beransur surut.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Johor yang dihubungi berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 12.40 tengah hari.

Menurut jurucakap itu, anggota JPAM kemudian bergerak ke 10 lokasi di sekitar bandar raya bagi melakukan pemantauan termasuk Jalan Kolam Ayer, Jalan Wong Ah Fook dan beberapa jalan sekitar.

"Anggota JPAM Johor turut membantu seorang wanita berumur lingkungan 20-an keluar dari keretanya selepas panik akibat terperangkap dalam banjir di Jalan Wong Ah Fook," katanya.

Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Johor Bahru, Pegawai Bomba Kanan II Khairul Azhar Aziz pula berkata pihaknya turut membantu mengeluarkan tiga mangsa yang terperangkap di dalam kereta di Jalan Wong Ah Fook.

Katanya, anggota bomba turut meninjau beberapa tempat letak kereta bawah tanah antaranya di Komtar JBCC, Public Bank dan Merlin Tower bagi memastikan tiada mangsa yang terperangkap.