Seramai 171 mangsa daripada 45 keluarga di Mersing dan Kota Tinggi ditempatkan di lima pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kediaman mereka dilanda banjir berikutan hujan lebat di kawasan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor Tan Chen Choon berkata bagi daerah Mersing, kawasan terjejas melibatkan Kampung Tenglu, Kampung Sri Lumpur, Kampung Air Papan, Kampung Sungai Padang dan Kampung Air Tawar.

Di Kota Tinggi pula kawasan terjejas melibatkan Kampung Bukit dan Kampung Tengah.

"Empat PPS dibuka di Mersing yang menempatkan 148 orang melibatkan 39 keluarga iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tenglu (53 mangsa, 13 keluarga), SK Mersing Kanan (sembilan mangsa, dua keluarga), SK Air Papan (49 mangsa, 12 keluarga) dan SK Bandar Endau (37 mangsa, 12 keluarga).

"Sebuah PPS yang dibuka di Kota Tinggi iaitu SK Sedili Besar pula menempatkan 23 mangsa daripada enam keluarga," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

BACA: Amaran cuaca waspada di Pahang dan Johor

Mengulas lanjut, Tan berkata pemantauan secara berterusan sedang dilakukan di kedua-dua daerah oleh pelbagai agensi termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini menerusi laman sosial Facebook mengeluarkan notis amaran cuaca buruk dengan hujan lebat dijangka berterusan bagi daerah Mersing dan Kota Tinggi, awal pagi tadi.

Amaran waspada pula dikeluarkan bagi daerah Segamat, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai dan Johor Bahru.


-- BERNAMA