NATIONAL
Banjir lumpur di Lebuhraya KL-Karak

Satu kejadian banjir lumpur berlaku di KM52.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak berhampiran Bukit Tinggi. - Foto Twitter @Zul__Fadli
Satu kejadian banjir lumpur berlaku di KM52.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak berhampiran Bukit Tinggi petang tadi.
Menurut laporan awal akaun Twitter Lembaga Lebuhraya Malaysia (@LLMinfotrafik), kesemua laluan terhalang dan trafik di kedua-dua arah sesak.
Tambahnya, pengguna dinasihatkan menggunakan laluan alternatif dari Kuantan keluar ke Persimpangan Bentong manakala dari Kuala Lumpur keluar ke Persimpangan Genting Sempah.
Pengguna dari arah Kuala Lumpur diminta supaya menggunakan jalan alternatif laluan dalam di Bukit Tinggi atau Kawasan Rehat Lentang, manakala pengguna dari arah Kuantan boleh menggunakan jalan dalam dari Bentong Timur.
Turut dilaporkan, Ketua Polis Bentong Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor mengesahkan kejadian itu tidak melibatkan kehilangan nyawa.
"Kerja pembersihan telah dimulakan pada jam 8 malam," katanya.
Sementara itu berdasarkan carian di aplikasi Waze, kesesakan lalu lintas dilaporkan di kedua-dua arah sekitar pukul 11 malam.
Menurut laporan awal The Star, terdapat beberapa kereta tertimbus di dalam kejadian itu.
“Saya baru sahaja bercakap dengan beberapa pegawai, terdapat beberapa buah kereta tertimbus di bawah banjir lumpur,” kata ketua bahagian trafik Kumpulan Media Radio Star, Priscilla Patrick.
Kesan runtuhan dijangka tidak akan dapat dibersihkan malam ni, tambahnya lagi.
Sementara itu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa usaha menyelamat dari kejadian banjir lumpur itu dilakukan segera.
Beliau turut menasihati pengguna berhampiran untuk bertenang dan mematuhi arahan sementara pihak berkuasa bantu meleraikan trafik.
Beliau juga mendoakan semua mangsa dan pengguna lain berhampiran kawasan berada dalam keadaan selamat.
Najib memaklum perkara ini melalui laman Facebook dan Twitternya.
Turut menasihatkan pengguna menggunakan laluan alternatif adalah Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami