Kerja-kerja pembersihan susulan banjir lumpur di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak masih diteruskan.

Anih Berhad dalam satu kenyataan hari ini berkata laluan yang ditutup sejak semalam adalah dari Selesa Hilhomes di KM42 sehingga ke Plaza Tol Bentong di KM62.

"Kami menjangkakan pembersihan akan mengambil masa selama dua hari tetapi ia bergantung kepada pihak polis untuk memberi kebenaran bila laluan itu dibuka.

FOTO: Banjir lumpur di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak


"Selain itu, pihak Anih juga akan meneruskan aktiviti pemantauan berkala terhadap semua cerun di lebuh raya untuk memastikan keadaan cerun sentiasa berada dalam keadaan baik," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, Anih Berhad masih lagi menyiasat serta mengenal pasti punca sebenar dan tindakan pencegahan akan dilaksanakan bagi mengelak insiden berkenaan berulang kembali.

FOTO: Kesan akibat banjir lumpur di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak


Kejadian banjir lumpur berhampiran Lentang-Bukit Tinggi pada pukul 6.30 petang Rabu menyebabkan sebahagian lebuh raya dari kedua-dua arah tidak boleh dilalui dengan tiga kenderaan persendirian dan sebuah lori angkut terkandas di kawasan itu.

Kesemua pemandu dan penumpang selamat.