Banjir di Melaka yang semakin memburuk sejak awal pagi Ahad menyebabkan dua buah sekolah di negeri itu terpaksa ditutup pada Isnin.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Datuk Abu Bakar Sahari berkata, dua buah sekolah itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Krubong di daerah Melaka Tengah dan SK Belimbing Dalam di daerah Alor Gajah.

Ujarnya, sesi persekolahan kedua-dua sekolah itu terpaksa ditangguh ekoran digunakan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan mangsa-mangsa banjir, selain jumlah pelajar yang terjejas adalah tinggi.

"Jumlah murid dan guru yang terjejas di SK Krubong adalah seramai 1,236 murid dan 71 guru manakala di SK Belimbing Dalam ialah 484 murid dan 40 orang guru.

"Bagaimanapun, hanya murid sahaja yang dibenarkan untuk tidak bersekolah manakala guru-guru yang tidak terlibat dengan bencana banjir ini diminta untuk hadir ke sekolah seperti biasa," katanya dalam kenyataan kepada Astro AWANI.

BACA: 'Sudah 4 tahun tidak tidur lena' - Mangsa banjir

Mengulas lanjut, Abu Bakar berkata sebuah lagi sekolah di Alor Gajah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pengkalan turut digunakan sebagai PPS dan menempatkan 122 mangsa daripada 34 buah keluarga.

Bagaimanapun, sesi persekolah bagi semua pelajar dan guru sekolah tersebut berjalan seperti biasa.

Sementara itu, menurut laporan Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri sehingga jam 8 malam tadi, jumlah mangsa banjir di negeri ini semakin memburuk dengan peningkatan kepada 1,149 mangsa melibatkan 260 keluarga berbanding 745 orang mangsa dari 150 keluarga pada petang Ahad.