MALAYSIA
Banjir Nibong Tebal: Air naik terlalu pantas - Mangsa

Beberapa buah kenderaan terperangkap semasa cuba meredah banjir kilat akibat hujan lebat sejak petang tadi di Jalan Sungai Jawi malam tadi. - Foto Bernama
Mangsa terlibat banjir di Nibong Tebal yang ditemui di Pusat Pemindahan Banjir Jawi di sini berkata, kejadian banjir berlaku terlalu pantas dan tidak diduga.
Menurut mereka, air mula naik sekitar kira- kira jam 8 malam menyebabkan mereka tidak sempat menyelamatkan barang.
Mohd Nor Rejab, 71, berkata, ketika kejadian dia terkandas bersama anak menantu serta cucu dan terpaksa meminta bantuan Bomba selepas air naik setinggi dua meter.
“Pada mulanya tidak lebat sangat, waktu tu lepas waktu Maghrib. Cucu beritahu air naik. Saya keluar dan betul air naik secara mengejut. Tengok air penuh. Tidak sempat hendak ambil apa-apa. Doa sahajalah, sebelum air naik dan kami terkandas. Banjir sedalam dua meter,” katanya.
Walaupun tidak sempat menyelamatkan barang dan kenderaan, dia bersyukur kerana mereka sekeluarga selamat keluar dari kawasan banjir.
“Masa kejadian sekitar 7.30 malam, baru selesai kenduri kahwin, ban pecah dan tengok air laju. Kami cepat berkemas. Ambil hanya barangan keperluan sahaja,” katanya.
Mereka antara 71 penduduk dari beberapa buah kampung di Nibong Tebal dan Sungai Bakap yang diselamatkan selepas kediaman mereka ditenggelami banjir.
Antara kampung yang terjejas ialah Kampung Sungai Baung, Kampung Lima, Taman Sg Duri Permai, Taman Sg Duri Indah,Kampung Sethu, Kampung Titi Hitam, Kampung Pengkalan, Kampung Masjid Baru, Kampung Permatang Ara dan Kampung Pulau.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami