Banjir yang melanda dua negeri pantai timur Semenanjung, Kelantan dan Terengganu semakin pulih hari ini dengan bilangan mangsa di pusat pemindahan semakin berkurangan.

Sehingga 8 pagi ini, bilangan mereka yang dipindahkan di Kelantan ialah 7,519 dari 2,977 keluarga manakala di Terengganu 512 orang dari 129 keluarga.

Bilangan itu berkurangan berbanding malam tadi iaitu seramai 7,595 dari 2,998 keluarga di Kelantan dan 642 orang dari 164 keluarga di Terengganu.

Dua lagi negeri yang terjejas banjir ialah Sarawak yang mencatat bilangan mangsa seramai 93 orang dari 19 keluarga dan Johor dengan 21 orang dari empat keluarga ditempatkan di pusat pemindahan.

Di KELANTAN, menurut Aplikasi InfoBencanaJKM seramai 4,733 orang dari 1,996 keluarga ditempatkan di 14 pusat pemindahan sementara (PPS) di Pasir Mas manakala di Tumpat seramai 2,786 melibatkan 981 keluarga berada di tujuh pusat pemindahan.

Menurut laman sesawang ebanjir.kelantan.gov.my, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas berada pada bacaan 9.63 meter, melepasi bahaya 9 meter, manakala Sungai Golok di Kuala Jambu Tumpat mencatat bacaan 2.77 meter, melepasi paras bahaya 2.50 meter.

Keadaan cuaca di negeri itu mendung dengan hujan renyai di sesetengah tempat.

Di TERENGGANU, kesemua mangsa banjir kini ditempatkan di enam pusat pemindahan iaitu lima pusat di daerah Kuala Nerus dan satu di Kuala Terengganu, menurut Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan (JKM).

Jabatan Pengairan dan Saliran melalui laman sesawang http://publicinfobanjir.water.gov.my/ pula melaporkan hanya Sungai Nerus di Kampung Bukit dekat Setiu mencatat bacaan waspada iaitu 10.85 meter (m) melebihi paras waspada 10.5m pagi ini.

Di SARAWAK, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Mej Ismail Mahedin dalam kenyataan berkata kesemua mangsa banjir ditempatkan di Pusat Pemindahan Banjir di Dewan Masyarakat Trusan.

Lapan kampung yang terjejas ialah Kampung Seberang Kedai Trusan, Kampung Gelapas, Kampung Perumahan Gelapas, Kampung Masjid Trusan, Kampung Luagan Kelilang, Kampung Tengah Trusan, Kampung Lintang dan Kampung Berjumpa Sundar.

Di JOHOR, kesemua mangsa banjir dari Kampung Parit Betong dan Kampung Parit Abdul Rahman ditempatkan di pusat pemindahan di Parit Sulong, Batu Pahat, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor Tan Chen Choon dalam kenyataan hari ini.

Kesemua mereka berada di pusat pemindahan di Sekolah Agama Seri Comel sejak Isnin kerana kawasan kediaman masing-masing digenangi 'banjir termenung' dengan cuaca di sekitar kawasan kampung itu hari ini mendung.

-- BERNAMA