Semua agensi pengurusan bencana kini berada pada tahap siap siaga sepenuhnya untuk menghadapi bencana banjir yang melanda Kelantan, Terengganu dan Perlis.

Menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ini persiapan pada kadar 10/10 berdepan gelombang kedua bencana.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim membuat lawatan mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bertempat di Sekolah Kebangsaan Kuala Besut 2.

Lawatan itu diikuti bersama Timbalan Ketua Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pesuruhjaya Datuk Selamat Dahalan.

Setakat ini, angka mangsa banjir di Kelantan mencatat jumlah tertinggi seramai 10,506 mangsa.

Berdasarkan laporan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) setakat ini, jumlah mangsa banjir di beberapa kawasan tertumpu banjir di Terengganu telah meningkat kepada 3,027 berbanding seramai 2,935 mangsa pada 5 pagi Rabu.