Sebuah bank di Utropolis Marketplace di Taman Perindustrian Hicom-Glenmarie, Shah Alam mengalami kerugian sebanyak RM130,000 selepas dirompak seorang lelaki bersenjatakan sepucuk pistol automatik.

Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib kejadian berlaku kira-kira jam 3.50 petang semalam.

"Berdasarkan siasatan awal, suspek seorang lelaki bersenjatakan pistol telah masuk ke dalam bank dan melepaskan tembakan ke arah siling dan mengacukannya kepada seorang pengawal keselamatan (tidak bersenjata) yang berada di ruang pelanggan.

"Suspek meminta salah seorang kakitangan bank mengeluarkan wang dari dalam kaunter dan memasukkan di dalam bag sandang yang dibawanya, kemudian suspek melepaskan satu lagi tembakan ke siling dan arahkan seorang kakitangan bank mengambil wang dari Bilik Tunai pula.

"Kejadian berlaku dalam masa lima minit dan suspek terus berlari keluar dari bank dengan jumlah wang yang dirompak sebanyak RM130,000," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

.
.
Mengulas lanjut, Baharudin berkata ketika kejadian, terdapat enam kakitangan bank dan lapan pelanggan namun kesemua mereka tidak mengalami sebarang kecederaan.

Justeru, beliau menyeru orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian untuk tampil ke mana-mana balai polis atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Kes ASP Hamizi di talian 03-55202222 atau 012-3920076.

Kes disiasat dibawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.