Bank Negara Malaysia (BNM) wajar menilai semula keputusan untuk mengetatkan pemberian pinjaman hartanah, kata Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Menurut beliau, ini kerana masih ramai dalam kalangan mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana masih belum mampu memiliki rumah.

"Saya mencadangkan Bank Negara untuk nilai semula keputusan ini. Ini kerana pemilikan rumah adalah satu keperluan bagi semua rakyat," kata Mohamed Azmin.

Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Perasmian dan Pecah Tanah Rumah Selangorku di Puchong pagi ini.

Selain itu, beliau turut ditanya tentang langkah yang akan diambil kerajaan negeri bagi memastikan mereka yang benar-benar layak diberi peluang untuk membeli Rumah Selangorku.

"Kami menggunakan sistem perkomputeran dalam proses pemilihan. Oleh itu, hanya mereka yang benar-benar layak akan menerimanya," jelas beliau.

Tambahnya, memang diakui ada permintaan untuk memperuntukkan sejumlah unit bagi pekerja syarikat pemaju, namun buat masa ini, tiada keputusan berkenaan perkara ini lagi.

"Keutamaan akan diberikan kepada orang awam. Hanya mereka yang layak sahaja akan diberikan peluang membeli Rumah Selangorku," kata Mohamed Azmin.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Exco Kerajaan Negeri Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad.