Sekretariat ‘Kita Lawan’ yang terdiri daripada parti politik, badan bukan kerajaan (NGO), golongan profesional dan mahasiswa bakal menganjurkan satu perhimpunan bantah GST pada 1 Mei di ibu kota.

Walaupun masih belum ada lokasi yang spesifik, perhimpunan itu mensasarkan penyertaan 1 juta rakyat Malaysia di seluruh negara.

Penyelaras Strategi Angkatan Muda Keadilan Akmal Nasir, 39, berkata sekretariat ‘Kita Lawan’ akan menumpukan segala kekuatan dan kerjasama daripada pelbagai pihak bagi memastikan 1 juta rakyat Malaysia turun menyertai perhimpunan ini.

Beliau berkata perhimpunan itu adalah untuk menuntut pembatalan pelaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dengan serta merta.

“Pandangan anak muda terhadap cukai GST adalah zalim. Bagi yang kaya, cukai ini hanya cukai ganti kepada cukai perkhidmatan yang kini kadarnya telah dikurangkan bagi mereka yang berpendapatan tinggi.

“Manakala bagi rakyat biasa, cukai ini membebankan mereka yang sebelum ini langsung tidak mampu membayar cukai pendapatan,” jelas Akmal dalam satu sidang media pada Jumaat di Bangunan Persatuan Wui Leng Selangor dan Kuala Lumpur.

Beliau berkata terdapat banyak kekeliruan dan ketidaksediaan peniaga mahupun pengguna terhadap perlaksanaan GST ini.

“Lebih malang lagi, rakyat kebanyakan dijadikan mangsa dengan kenaikan harga barang yang melampau,” ujar beliau.

Sidang media itu turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu Lee Chean Chung, ADUN Simpang Pulai Tan Kar Hing, dan aktivis Mandeep Singh.

Kira-kira 56 badan NGO akan menyertai perhimpunan ini termasuk Perak Green Pioneers, Solidariti Anak Muda Perak, Buku Jalanan, Frinjan, Ameerah Muslimat PAS dan Angkatan Bahaman.

Akmal dalam masa yang sama berkata pihak 'Kita Lawan' akan mendeklarasikan tapak duduk bantah #PecatIGP sebagai Dataran Kita Lawan pada malam Rabu akan datang.