Satu video berdurasi 2 minit 31 saat yang tular sejak Khamis menunjukkan beberapa individu memukul seekor buaya sehingga mati dengan menggunakan tukul dan batang kayu, telah mencetus kemarahan orang ramai.

Dalam video tersebut, kelihatan seekor buaya sedang bergelut kerana terperangkap di dalam jaring nelayan selain cuba untuk melepaskan diri akibat dipukul.

Tindakan itu lantas dikecam kerana dilihat tidak berperikemanusiaan.

Pengerusi Persatuan Pencinta Awam Malaysia (MNS) Miri, Musa Musbah berkata, berpandukan video tersebut, sekiranya didapati bersalah, para pelaku boleh dikenakan tindakan di bawah kesalahan menganiaya haiwan.

Lokasi kejadian masih belum dapat dikenal pasti, namun siasatan masih berjalan bagi mencari pelaku-pelaku yang terlibat.

Eksekutif Komunikasi Korporat Jabatan Perhutan Sarawak, Susan Yek menyatakan pihak mereka masih lagi menyiasat perkara tersebut.

Tindakan kejam itu dikutuk sekeras-kerasnya kerana menganiaya haiwan yang tidak berdaya dan tidak bersalah.

Walaupun buaya bukan lagi haiwan terlindung di Sarawak dan pemburuannya dibenarkan atas dasar mengganggu aktiviti dan kawasan yang didiami manusia, ini tidak bermakna haiwan itu harus dilayan dengan kejam.