Banteras dadah: Keberkesanan risikan antara penyumbang utama

Banteras dadah: Keberkesanan risikan antara penyumbang utama
Mohd Fuzi (tengah) bercakap pada sidang media sempena Mesyuarat Ketua-Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Kota Kinabalu, hari ini. Astro AWANI
KOTA KINABALU: Keberkesanan risikan, gerakan bersepadu dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kerjasama dengan agensi antarabangsa menjadi titik tolak kepada penyumbang utama rampasan serta pembanterasan dadah secara tuntas di negara ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pencapaian sejak tahun lalu amat memberangsangkan dalam usaha pihaknya memerangi musuh nombor satu negara itu dengan kesepakatan kesemua aspek.

Beliau berkata, meskipun Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) bertanggungjawab secara langsung dalam isu pembanterasan dadah negara ini, pihaknya turut bergerak secara bersepadu dengan jabatan lain untuk mengumpul maklumat dan risikan.

"Kita turut berterima kasih kepada pihak luar yang berani tampil ke hadapan menyalurkan maklumat. Ini lebih memudahkan kita membanteras kegiatan ini daripada berleluasa, dan diedarkan di negara kita.

"Pada masa yang sama, kita juga berkerjasama dengan pihak, sahabat dan agensi-agensi antarabangsa sama ada dari segi pertukaran maklumat, latihan, menyediakan kemudahan-kemudahan pengesanan dan sebagainya, serta teknologi baharu.
"Jadi, ini juga menyumbang kepada usaha kita meningkatkan rampasan dadah keseluruhannya di seluruh negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Ketua-Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Kota Kinabalu, pada Selasa.

Hadir sama adalah Pengarah JSJN Datuk Seri Mohamad Salleh dan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah.

Menurut Mohamad Fuzi, ia berdasarkan kejayaan luar biasa pada awal tahun di mana PDRM berjaya meraih pencapaian 'luar biasa' melibatkan tangkapan dan rampasan dadah di seluruh negara berbanding tahun sebelumnya.

Jelasnya, antara kejayaan dimaksudkan adalah rampasan hampir 560 kilogram dadah pelbagai jenis di negeri Perak, Johor dan Kuala Lumpur  melibatkan rampasan mencecah RM35 juta.

Mengulas lanjut, Mohamad Fuzi berkata, pihaknya mencatatkan peningkatan memberangsangkan pada tahun lalu dalam usaha menangani isu pembanterasan dan penyeludupan dadah di seluruh negara, termasuk di Sabah.

"Bagi negeri Sabah, ia menunjukkan peningkatkan kejayaan luar biasa bagi tempoh 2018 berbanding pencapaian dengan tahun 2017.

"Sebagai contoh, dari segi tangkapan dan rampasan dadah. Pada 2017, sebanyak 4,510 tangkapan dibuat di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, melibatkan siasatan bekalan dan permintaan.

"Tahun 2018 pula, 4,708 tangkapan dibuat dan ini menunjukkan peningkatan seramai 205 tangkapan berbanding tahun 2107, meningkat sebanyak 4.3 peratus.

"Bagi tangkapan melibatkan penyalahgunaan dadah, yang disiasat mengikut Seksyen 15 (1) ADB 1952 seramai 9,128 tangkapan dibuat pada 2018 berbanding 6,261 tangkapan 2017, dengan peningkatan 2,837 tangkapan atau 45 peratus," katanya.

Untuk rekod, bagi rampasan dadah pula, beliau berkata, rampasan dadah jenis syabu menunjukkan peningkatan ketara dengan rampasan sebanyak 200,180.67 gram berbanding 71,452.01 gram pada tahun 2017, kenaikan 182.53 peratus.