Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Bantuan kepada Masjid al-Aqsa sampai tetapi...

Bantuan kepada Masjid al-Aqsa sampai tetapi...
Menurut Awang Suffian, bantuan yang disampaikan kepada Masjid al-Aqsa bukan melalui kedutaan Palestin di Malaysia.
BANGI: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia menyerahkan kutipan sumbangan dana secara terus kepada rakyat Palestin menerusi seliaan wakil mereka di Palestin.

Ketua Pengarah Eksekutif Aman Palestin Berhad, Awang Suffian Awang Piut berkata, bantuan dan dana berkenaan disalurkan tanpa melalui pihak kedutaan Palestin.
Kebanyakan sumbangan yang dikumpul, katanya, telah sampai kepada rakyat Palestin dan beberapa projek pembangunan sudah siap dibina termasuk Masjid Imam Syafie, beberapa masjid kecil dan sekolah-sekolah untuk pendidikan awal.

“Kami perlu melihat kedudukan Palestin dari segi politiknya. Palestin dibahagikan kepada Hamas dan Fatah.
“Kebanyakan rakyat Malaysia menyokong perjuangan yang dipelopori Hamas kerana mereka lebih dekat dengan perjuangan pembebasan rakyat Palestin manakala Fatah dikuasai PLO (Pertubuhan Pembebasan Palestin).

“PLO, dari segi antarabangsa, diiktiraf PBB (Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu). Jadi, kebanyakan bantuan diberikan kepada PLO akan sampai ke Fatah manakala kebanyakan sumbangan dari NGO akan disalurkan kepada rakyat secara terus,” kata Awang Suffian pada sidang media di ibu pejabar Aman Palestin pada Rabu.



Pada Selasa, Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali berkata, sumbangan rakyat Malaysia untuk Masjid al-Aqsa tidak sampai kepada Jabatan Wakaf Baitulmaqdis yang mentadbir urus masjid tersebut.

Awang Suffian menyangkal dakwaan tersebut dan berkata, isu dana sumbangan yang dibangkitkan itu bukan sesuatu yang baharu.

Ini adalah kerana, pihak Aman Palestin pernah berjumpa dengan Duta Palestin ke Malaysia pada 2012 dan memaklumkan tentang kaedah Aman Palestin dalam menyalurkan sumbangan.

“Bantuan yang disampaikan kepada Masjid al-Aqsa bukan melalui kedutaan Palestin di Malaysia.

“Rakyat Malaysia bersifat mahu menyampaikan secara terus dan menyampaikan secara telus. Mereka akan bertanya projek ini untuk apa dan ke mana ia disalurkan,” jelas beliau lagi.

Dalam pada itu, Aman Palestin juga melancarkan kempen “Ramadan Bersama Palestin” dengan sasaran RM14.2 juta untuk meringankan beban yang ditanggung rakyat Palestin dan Syria.

Sementara itu, Awang Suffian juga mengecam sekeras-kerasnya pelan damai “The Deal of The Century” yang diperkenalkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump disebabkan sifatnya yang bercanggah dengan prinsip keadilan sejagat.


Tag: Aman Palestin, Awang Suffian Awang Piut, Badan bukan kerajaan, NGO, dana, Masjid al-Aqsa, sumbangan, bantuan, Pertubuhan Pembebasan Palestin, Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu, PBB



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.