Kerajaan Pahang mengumumkan pembayaran Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 seorang, kepada kira-kira 8,000 penjawat awam di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata bantuan khas berkenaan akan diberikan kepada penjawat awak gred JUSA hingga ke bawah dan pembayaran akan dibuat esok.

"Kerajaan Negeri memperuntukkan kira-kira RM4 juta bagi melaksanakan pembayaran ini. Keputusan ini dibuat pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri yang saya pengerusikan pagi ini.

"Ia selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 2020 berkaitan Bantuan Khas Kewangan 2020 yang merupakan sebahagian daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) sepertimana Perdana Menteri YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin umumkan pada 27 Mac 2020," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Katanya lagi, beliau juga meminta semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Badan-badan Berkanun Negeri untuk meneladani serta membuat pembayaran yang sama.

"Semoga dengan pembayaran ini dapat turut membantu dalam persediaan meraikan sambutan Hari Raya Aidil Adha pada akhir bulan ini," ujarnya.