Malaysia masih menunggu kebenaran daripada kerajaan Indonesia dalam usaha menyalurkan bantuan kepada mangsa gempa bumi di Lombok, Indonesia.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata lampu hijau daripada kerajaan Indonesia penting bagi memastikan koordinasi bantuan dapat dilakukan dengan sempurna.
"Belum lagi. Memang kita tawarkan pertolongan yang kita mampu. Tetapi kita memerlukan (kebenaran) mereka terlebih dahulu.
"Ini kerana, jika tiada koordinasi daripada dua pihak, ia hanya akan merugikan.
"Buat masa ini, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad turut mengucapkan takziah dan menawarkan bantuan kepada Indonesia, itu antara cara-cara untuk kita hendak menolong," katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Pada sidang media itu, Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut menyampaikan sumbangan Skim Keilatan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada ibu dan suami mangsa, Siti Nur Ismawida Ismail, 30, yang terkorban dalam bencana alam itu.
Sebelum ini, Dr Mahathir dan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menyatakan kesediaan kerajaan untuk menghantarkan bantuan ke Lombok, Indonesia.

Angka korban daslam kejadian Ahad lalu itu disahkan melebihi 100 orang, dengan ratusan yang lain cedera, sementara ribuan bangunan musnah.