Datuk Seri Salahuddin Ayub menegaskan menjadi hak kepada mana-mana menteri untuk menyalurkan bantuan pada bila-bila masa termasuk semasa tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK).

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu menyerahkan kuasa mahkamah untuk memutuskan sekiranya apa yang dilakukan itu bertentangan dengan peruntukan undang-undang sedia ada.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu menegaskan perkara tersebut susulan pengumuman Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkenaan bantuan khas melibatkan seramai 1,513 nelayan di kawasan Johor Selatan termasuk Tanjung Piai pada minggu hadapan.

“Kalau saya pergi Tanjung Piai hari ini, esok atau semalam (dan berkata) ‘Ha ambil, duit ini, undilah Pakatan Harapan’. Itu adalah rasuah dan ia adalah satu benda yang tidak diizinkan.

“Tapi kalau sebagai menteri, apa yang telah dijanjikan oleh (bekas Ahli Parlimen) Datuk Dr Md Farid Md Rafik kepada nelayan, jadi kita bagi lah. Nak tunggu orang lain bagi?,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Lantas, Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) bingkas bangun dan mencelah: “Lepas PRK boleh bagi,” katanya.

Pertanyaan Ahmad turut mendapat perhatian Salahuddin.

“Kami sebagai menteri, nak bagi masa ini. Sebab kami menteri boleh beri pada bila-bila masa. Saya tidak kira siapa pun kata.

“Nelayan untung, rakyat akan untung, itu sahaja. Jadi kita beri kepada yang berhak dan Insya-Allah kita adalah kerajaan yang bertanggungjawab.

“Contohnya macam jeti, jeti itu uzur, nak tunggu nelayan jatuh baru nak bagi? Sekiranya sesuatu apa yang dilakukan oleh kami ini bertentangan dengan akta, terpulang kepada mahkamah untuk tentukan,” tegasnya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Ahmad yang bertanyakan pandangan Salahuddin sama ada pemberian bantuan tunai secara serahan tangan kepada pengundi melanggar peruntukan undang-undang pilihan raya.

Dr Sahruddin pada sidang media di Iskandar Puteri semalam berkata, bantuan khas nelayan RM1,000 dengan anggaran lebih RM1.5 juta itu akan berikan secara serahan tangan berperingkat melalui tiga fasa mulai minggu hadapan.

Beliau turut menafikan dakwaan bahawa bantuan yang diberikan sebagai 'gula-gula' sempena PRK Tanjung Piai dan pemberian bantuan ini tidak tertangguh seperti yang dilaporkan kerana telah diberikan sejak tahun 2015.

Sebelum ini laporan media yang memetik dakwaan segelintir masyarakat nelayan di Tanjung Piai bahawa wang sagu hati atau wang ihsan yang pernah dinikmati sejak 2016, masih belum diterima sehingga kini.

Dakwaan itu antara lain menyebut nelayan telah diberikan wang ihsan sebanyak RM2,000 pada zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) sebelum dijanjikan RM1,000 oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika ini.