Tutup

Bantuan perkahwinan elak masalah sosial - Eddin

Bantuan perkahwinan elak masalah sosial - Eddin
EDDIN: Inisiatif ini cukup bermakna dalam memberi tumpuan dan sama-sama menjaga kepentingan institusi keuarga dengan cara bermula dengan sebuah perkahwinan. - Gambar Astro AWANI/SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Bantuan perkahwinan memberi dorongan dan motivasi kepada masyarakat supaya meninggalkan gaya hidup yang tidak sihat dan memilih untuk mendirikan rumah tangga melalui ikatan perkahwinan yang sah di sisi hukum syarak.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith berkata ia juga merupakan salah satu tanggungjawab sosial serta usaha pihak kerajaan terutama bagi membantu golongan asnaf dan berpendapatan rendah.
"Inisiatif ini cukup bermakna dalam memberi tumpuan dan sama-sama menjaga kepentingan institusi keluarga dengan cara bermula dengan sebuah perkahwinan.

"Apabila kita mempermudahkan urusan perkahwinan seperti inisiatif yang dibuat malam ini, ini pendekatan bermakna daripada kerajaan dan badan terlibat untuk mengelakkan masalah yang timbul, contohnya masalah sosial dari kegagalan mendirikan rumah tangga selain mewujudkan 1,001 masalah sosial berkaitan," katanya semasa ditemui selepas majlis malam berinai yang berlangsung di Dataran Merdeka di sini, pada Sabtu.
Seramai 61 pasangan bakal mempelai diraikan dalam majlis berkenaan yang terdiri daripada golongan asnaf, fakir miskin, mualaf dan B40.

Majlis itu merupakan kerjasama di antara Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Pertubuhan Amal dan Sukarelawan Batu (PASB), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Semua pasangan akan diraikan dalam Majlis Walimatul ‘Urus Rahmah Wilayah Persekutuan yang berlangsung di lokasi sama pada Ahad malam.

Majlis yang akan berlangsung pada Ahad malam itu juga memberi peluang pengantin merasai kemeriahan dan keseronokan dalam melangsungkan majlis perkahwinan.

Bantuan Perkahwinan merupakan salah satu daripada 28 skim bantuan zakat yang ditawar bahagian Baitulmal MAIWP sejak tahun 2016.