Sepasang suami isteri direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes seorang kanak-kanak berusia 11 tahun yang mengalami kecederaan dipercayai didera, semalam.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairudin, di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pada Isnin.

Pasangan berusia 36 dan 38 tahun yang merupakan bapa kandung dan ibu tiri mangsa itu direman bagi membolehkan siasatan dijalankan. mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana mendera.

Pasangan itu ditahan susulan polis menerima laporan berhubung kejadian dera membabitkan kanak-kanak malang itu semalam.

Semalam, seorang kanak kanak perempuan berusia 11 tahun ditemui dalam keadaan cedera teruk di bahagian mata dan muka dipercayai didera ibu tirinya.

Kejadian dipercayai berlaku di Flat Ampang Jajar, Permatang Pauh, Pulau Pinang.

Kanak-Kanak itu bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh pertubuhan Malaysian Tamilar Kural selepas menerima laporan daripada penduduk di perumahan berkenaan.

Kanak-kanak malang itu ditemui disembunyikan di belakang pintu dan kelihatan ketakutan serta trauma selain terdapat kesan kecederaan serius di muka sehingga kedua-dua belah matanya tidak boleh dibuka.

Sementara itu, menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan, mangsa kini ditempatkan di Hospital Seberang Jaya untuk menerima rawatan dan pemeriksaan lanjut daripada pakar kanak kanak.

Nik Ros Azhan berkata siasatan lanjut ke atas bapa mangsa mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan turut mempunyai lapan rekod jenayah lampau.

Manakala ibu tiri mangsa mempunyai satu rekod jenayah lampau kerana mencuri.