Seorang bapa dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak atas 182 pertuduhan melakukan serangan seksual termasuk liwat dan rogol anak kandungnya yang berusia 15 tahun.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan di hadapan Hakim Mahkamah Jenayah Seksual, Yong Zarida Sazali.

Berdasarkan pertuduhan, dia yang bekerja sebagai agen unit amanah didakwa melakukan 30 ugutan seksual terhadap anak perempuannya.

Kesalahan dipercayai berlaku selepas mangsa tinggal bersamanya ekoran perceraian dengan isterinya.

Ia dilakukan di bilik tidur utama rumahnya, sebuah pangsapuri, di Sungai Way, Petaling Jaya, antara jam 6 pagi hingga 1 pagi, pada 11 Julai hingga 20 Julai lalu.

Tertuduh juga berdepan dengan 150 pertuduhan liwat terhadap mangsa, di tempat sama, antara jam 6 pagi hingga 12 tengah malam, pada 1 Januari sehingga Mac tahun ini.

Lelaki berusia 36 tahun itu yang mempunyai hak pemeliharaan didakwa melakukan penganiayaan seks terhadap mangsa di lokasi sama antara 1 Januari hingga 21 Julai lepas.

Bapa kepada tiga anak perempuan itu turut didakwa merogol mangsa di lokasi sama, jam 2 petang, pada 21 Julai lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(A) Dan Seksyen 31(1)(B) Akta Kanak-Kanak 2016, Seksyen 14/16 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 Serta Seksyen 376A Kanun Keseksaan.

Hakim Yong Zarida menangguhkan prosiding sehingga esok bagi membolehkan lebih 400 pertuduhan liwat yang lain dibacakan.

Sebelum ini pendakwaan ditunda ke sebelah petang berikutan pegawai penyiasat terpaksa mengira semula kertas pertuduhan sebelum mendaftarkan kes itu.