Tutup

Bapa empat anak antara yang maut dalam kemalangan

Bapa empat anak antara yang maut dalam kemalangan
Mayat mangsa akan dibawa ke Permatang Pauh untuk dikebumikan. - Astro AWANI/Syafik Syukri Jalil
SUNGAI BULOH: Identiti salah seorang daripada empat mangsa yang maut dalam kemalangan di Kilometer 446 Lebuhraya PLUS dikenal pasti sebagai Noor Akhiruddin Alam, 48 tahun.

Mangsa maut ketika dalam perjalanan untuk bertemu anak perempuannya yang berusia 15 tahun di Sekolah Seri Puteri (SSP) Cyberjaya bersempena sambutan Jubli Emas sekolah tersebut yang diadakan hari ini.

Turut berada dalam kenderaan jenis Toyota Vellfire itu adalah isteri dan anak lelakinya yang berusia dalam lingkungan 10 tahun.
Isterinya tidak mengalami sebarang kecederaan manakala anak lelakinya, Izuddin Akhiruddin, kini berada dalam keadaan kritikal susulan kemalangan tersebut.

Empat mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian dan empat lagi mengalami kecederaan parah. - Foto ihsan JBPM
Empat mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian dan empat lagi mengalami kecederaan parah. - Foto ihsan JBPM

Difahamkan mayat mangsa kini sedang menjalani proses bedah siasat di Hospital Sungai Buloh dan akan dibawa ke Permatang Pauh, Pulau Pinang malam ini.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari tadi, empat orang maut, seorang kanak-kanak cedera parah manakala tiga yang lain cedera ringan dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan termasuk sebuah treler di Km 446 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) melibatkan kedua-dua arah.
Mangsa yang maut dalam kemalangan itu terdiri daripada seorang pekerja swasta, Noorakhirludin Alam Mohamad Noor berusia 48 tahun, Nur Fitrah Rosman, Nurbaya Mohd Zaki, dan Mohammad Hafiz Shahrul Jefri Din, ketiga-tiga mereka berusia 24 tahun.

Kejadian dipercayai berlaku apabila treler yang menghala ke arah utara terbabas sebelum memasuki lorong bertentangan ke arah selatan lalu melanggar kenderaan di laluan berkenaan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Supt Azman Shariat mengesahkan mengenai kejadian dan identiti mangsa.