Seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun bukan sekadar menjadi bahan pemuas nafsu bapa kandung sendiri.

Sebaliknya, anak malang itu turut dilacurkan oleh lelaki yang seharusnya menjadi pelindung baginya.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, jenayah tidak berperikemanusiaan itu terbongkar selepas seorang wanita dipercaya ibu saudara mangsa membuat laporan pada 3.08 petang Sabtu.

Berdasarkan laporan yang diterima, mangsa mula menjadi tempat melampiaskan nafsu bapa sendiri sejak usianya 10 tahun.

“Ibu mangsa yang mengetahui kejadian ini telah memarahi suspek dan suspek tidak mengulangi lagi perbuatannya.

“Walaubagaimanapun, bermula pertengahan 2019 hingga Februari 2020, mangsa telah dipaksa oleh suspek untuk melayan seks lebih (20) orang pelanggan yang dibawa oleh suspek,” kata beliau dalam kenyataan yang diedarkan.

Menurut Mohd Zaid, kesemua kejadian berlaku di rumah mangsa sendiri.

“Suspek membawa pelanggan ke sana (rumah) dan memaksa mangsa melayani kehendak seks pelanggan tersebut. Mangsa tidak memperolehi apa-apa bayaran bagi layanan seks yang dilakukannya,” jelas Mohd Zaid.

Kes tersebut, katanya, disiasat di bawah Seksyen 376B/372 Kanun Keseksaan & Sek 43(1)(a) Akta Kanak-Kanak.

Polis juga meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu dengan berhubung mana-mana balai polis berdekatan atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes iaitu Insp Hafiza di talian 0183903410 @ 03-89114222