“Apa salah dan kenapa anak saya dibelasah sampai koma?”

Demikian keluhan seorang bapa di Kedah yang mendakwa anaknya dibelasah sekumpulan tiga orang pelajar senior, pagi semalam.

Mangsa Muhammad Anas Amir, 14, pelajar Tingkatan Dua sebuah sekolah menengah di Sungai Petani, mengalami pendarahan dalam kepala dan kini berada di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

Menurut bapa mangsa, Amir Ahmad, 47, anaknya dipukul dan dihentak pada dinding kira-kira pukul 10 pagi selepas diminta oleh guru untuk memanggil seorang rakan sekelas masuk ke dalam bilik darjah.

“Dia kata, cikgu suruh panggil budak-budak masuk, dia pun tariklah tangan kawan itu. Kawan itu sekelas dengannya.

“Kebetulan masa dia tarik, abang budak itu tengok macam nak pukul adik dia. Daripada situlah terjadi kejadian itu.

“Selepas itu, mereka bertiga memukulnya dan menumbuknya, terhempas di simen,” kata Amir.



Mangsa yang juga anak ketiga dari lima beradik itu hanya memberitahu ibunya, Suriyati Che Said, 47, mengenai kejadian itu kira-kira pukul 3 petang semalam selepas mengadu sakit kepala.

Jelas Amir, anaknya mengalami muntah-muntah ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani kira-kira pukul 4 petang.

“Doktor kata, buat ‘scan’. Bila ‘scan’, ada pendarahan dalam otak, dalam kepala….

“Saya serahkan kepada pihak polis. Memang saya kecewalah dengan perkara ini. Harap tidak berlaku kepada budak lain,” katanya.

Beliau juga telah memaklumkan kejadian itu kepada pihak sekolah supaya tindakan susulan dapat diambil bagi mengelak kejadian sama berlaku kepada pelajar lain.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Md Zukir Md Isa mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan telah menahan pelajar lelaki berusia 15 tahun yang terbabit bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.