Bapa kepada anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, berharap prosiding inkues bagi menentukan punca kematian anaknya dapat disegerakan demi mendapatkan keadilan buat anggota keluarganya.

Mohd Kassim Abdul Hamid, 64, berkata walaupun tidak mengetahui dengan mendalam mengenai inkues tersebut, tetapi beliau berharap pelaku jenayah yang menyebabkan kematian Muhammad Adib dapat dibawa ke muka pengadilan segera.

"Hari ini sudah 37 hari arwah meninggal, jadi saya harap prosiding inkues dan perbicaraan dapat berjalan dengan lancar," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Kedah di sini, pada Rabu.

Pada 18 Jan lalu, pengurusan kes inkues bagi menentukan punca kematian anggota bomba Muhammad Adib, 24, telah didengar di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan prosiding inkues dijalankan di hadapan Hakim Rofiah Mohamad yang bersidang sebagai Koroner.

Terdahulu, Mohd Kassim bersama anggota keluarganya hadir ke majlis penyampaian anugerah, sumbangan, tahlil serta doa selamat yang diadakan khusus untuk arwah anaknya di Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Kedah.

Mohd Kassim turut meluahkan rasa terharunya apabila Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah mahu menamakan dewan baharu di ibu pejabat tersebut sempena nama Muhammad Adib.

Sementara itu, Pemangku Pengarah JBPM Kedah, Penolong Pesuruhjaya Bomba Mohd Zahar Abdullah berkata nama bagi dewan yang digunakan sejak dua bulan lalu itu diputuskan hasil cadangan dalam mesyuarat ketua-ketua bahagian dan ketua zon JBPM Kedah sebelum ini.

"Hari ini juga, kita telah menyerahkan wang sumbangan Tabung Wira Merah hasil kutipan dari 19 balai di negeri ini dan buat masa ini kita masih belum mendapat arahan menutup tabung tersebut.

"Sekiranya ada pihak yang masih mahu memberikan sumbangan, mereka boleh berbuat demikian dengan menghulurkan sumbangan ke nombor akaun Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia atau boleh ke balai-balai bomba di negeri ini," katanya.

Muhammad Adib, 24, yang merupakan anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) JBPM Subang Jaya, parah selepas dipercayai diserang dan dipukul perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov tahun lalu.

Allahyarham meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Dis tahun lalu dan jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kariah Masjid As-Saadah di Kampung Tebengau, Kuala Kedah.

-- BERNAMA