Seorang bapa terkejut menemui mayat anaknya yang tergantung di kipas ruang tamu selepas berulang kali mengetuk pintu rumah di Taman Seri Jenaris, Tikam Batu, Sungai Petani kira-kira jam 10 pagi Sabtu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Adzli Abu Shah, bapa mangsa terus membuat laporan polis sejurus melihat kejadian tersebut.

Katanya, hasil siasatan polis mendapati mangsa menghadapi kemurungan selepas bercerai dengan isterinya pada tahun lepas.

Jelasnya, mangsa berusia 39 tahun itu merupakan seorang bekas anggota tentera yang berkhidmat di Kuantan dan telah berhenti perkhidmatan sejak lima tahun lepas.

Siasatan awal tempat kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.


Orang ramai dialu-alukan membuat aduan sekiranya berhadapan masalah ketidakstabilan emosi.



Mereka boleh berkongsi masalah atau dilema yang dihadapi dengan para sukarelawan terlatih di Befrienders.

Befrienders ialah sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang menyediakan khidmat sokongan emosi 24 jam sehari, 7 hari seminggu, kepada mereka yang mengalami kemurungan dan mempunyai niat untuk membunuh diri.

Befrienders boleh dihubungi di talian 03-7956 8145/8144 atau e-mel kepada [email protected] untuk bantuan.

Panggilan adalah percuma bermula 1 Ogos 2019.