Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai mengesahkan bahawa penemuan barangan peribadi yang 'terdampar' di Madagascar bukan milik penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.

Menurut Liow, pengesahan dibuat oleh pasukan penyiasat negara di mana ia ditemui.

"Barang-barang peribadi yang dijumpai bukan kepunyaan MH370, saya difahamkan ia bukan milik penumpang pesawat berkenaan. Pengesahan dilakukan oleh negara-negara berkenaan yang menjumpainya. Namun proses analisa lanjut tetap akan diteruskan," katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen Dunia Hui Zhou ke-9 di sini, hari ini.

BACA: Serpihan ditemui di Pulau Kangaroo, Australia bukan daripada MH370

Selepas penemuan beberapa serpihan yang dikaitkan dengan pesawat MH370, seorang peguam dari Seattle, Amerika Syarikat, Blaine Gibson mendakwa menjumpai 20 barangan peribadi yang ‘terdampar’ di pantai Riake, Madagascar pada awal bulan ini.

Barang-barang berkenaan yang ditemui di lokasi sama serpihan-serpihan terdahulu terdampar itu, iaitu di sepanjang 18 kilometer di pantai berkenaan, didakwa berkemungkinan milik penumpang dan anak kapal pesawat malang itu.

Gambar-gambar berkaitan barangan peribadi berkenaan turut disiarkan dalam laman web Aircrash Support Group Australia bagi membolehkan ahli keluarga mangsa mengenal pasti barangan tersebut.

Antara yang ditemukan itu adalah kopiah berwarna hitam, dompet berwarna putih, hitam dan merah yang tertera karakter Angry Bird, beg tangan bercorak petak dan beg komputer riba yang tertulis perkataan ‘MENSA’.

MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal dilaporkan hilang pada Mac 2014 ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.