Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu merampas pelbagai barangan tiruan berjenama bernilai hampir RM100,000.

Pengarah KPDNHEP Negeri Saharuddin Mohd Kia berkata, ia adalah rampasan terbesar tahun ini hasil serbuan di Kuala Terengganu dan Marang pada 12.30 tengah hari Isnin, selepas risikan selama sebulan.

Menurutnya, dalam Operasi Barang Tiruan yang dijalankan serentak di tiga premis itu, pihaknya menahan dua suspek lelaki berumur 30-an dan empat suspek wanita berusia 20-an bagi membantu siasatan.

“Kita mendapati dua premis ini menjalankan operasi perniagaan secara dalam talian sementara satu lagi premis menjalankan perniagaan di kedai.

“Dalam ketiga-tiga serbuan tersebut yang dijalankan penguatkuasa kita bersama wakil cap dagang, semua barangan tiruan ini berada di stor simpanan premis,” katanya pada sidang media di Stor Eksibit KPDNHEP di Chendering, di sini, pada Selasa.

Antara barangan dirampas adalah 821 pasang kasut, 3,120 stokin, 46 tali pinggang, enam dompet, enam baju, lima pasang selipar dan satu unit beg tangan wanita berjenama.

Kes disiasat di bawah Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagang 2019 .

Denda maksimum RM10,000 boleh dikenakan terhadap kesemua suspek bagi setiap barangan atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.