Bas bawa majoriti pelajar terbabas, terbalik di Bukit Tangga

Bas bawa majoriti pelajar terbabas, terbalik di Bukit Tangga
Keadaan bas yang terlibat dalam kemalangan di satu laluan di Bukit Tangga, Negeri Sembilan. - Foto: Media sosial
SEBUAH bas awam yang kebanyakan penumpangnya dipercayai terdiri daripada para pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Klawang dilaporkan terbabas dan terbalik di Jalan Kuala Klawang-Seremban dekat Bukit Tangga, Negeri Sembilan kira-kira jam 4 petang Khamis.

Kemalangan itu difahamkan turut melibatkan sebuah kenderaan lain, iaitu jenis Nissan X-Trail, yang dunaiki tiga orang.

Pasukan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Seremban, dan dibantu pasukan JBPM Jelebu telah berada di lokasi kejadian untuk menjalankan usaha mengawal dan menyelamat.

Laporan JBPM menyatakan seorang lelaki berusia 20-an telah disahkan meninggal dunia, manakala 14 pelajar perempuan dan 10 pelajar lelaki mengalami kecederaan. Sementara itu, dua lelaki dewasa turut cedera.

Kesemua mangsa telah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.


"Ketika kami sedang lalu di laluan dekat Bukit Tangga, kami dah nampak dah bas tu macam hilang kawalan. Selepas melalui beberapa selekoh, akhirnya bas itu terlanggar tembok," ujar salah seorang mangsa yang terselamat, Muhammad Amin Zaki, 15 tahun.

Seorang lagi mangsa yang ditemui berkata, keadaan boleh menjadi lebih teruk jika bas itu terjunam di kawasan gaung.

Gambar orang awam yang merakamkan kejadian tersebut telah mula disebarkan di media sosial.

Bas tersebut hilang kawalan lalu melanggar tebing di sisi jalan seterusnya terbalik. - Foto: Media sosial

Beberapa penumpang yang cedera, dibaringkan di satu sudut sementara menunggu prosedur rawatan awal. - Foto: Media sosial

Difahamkan kebanyakan penumpang merupakan pelajar beberapa buah sekolah yang mula bercuti menjelang penghujung Ramadan.

Dahan-dahan pokok yang merintangi jalan selepas tumbang akibat kemalangan itu juga sudah dikerat dan dialihkan, sementara lalu lintas juga dikawal.

Astro AWANI sedang menggerakkan wartawan ke lokasi kejadian.

Seorang wanita melintasi lokasi kejadian sebuah bas yang terlibat dalam kemalangan di laluan dekat Bukit Tangga, Negeri Sembilan. - Foto: Media sosial






Tag: kemalangan, bas terbalik, bas terbabas, bukit tangga, negeri sembilan, mrsm


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.