Dua bas yang membawa peserta skuasy Sukan SEA dari Myanmar, Filipina dan Thailand telah terlibat dalam satu kemalangan pagi tadi.

Kemalangan tersebut telah disahkan berlaku oleh Ketua Trafik Kuala Lumpur, ACP Mohd Nadzri Hussain.

Menerusi laporan awal kemalangan yang dikeluarkan oleh pihak Trafik Kuala Lumpur, kemalangan berlaku lebih kurang pukul 7.50 pagi berhampiran Tol Sungai Besi menghala ke Kesas.

Kemalangan itu melibatkan dua buah bas daripada hotel Marriott Putrajaya yang menghala ke Stadium Bukit Jalil.

Bas-bas tersebut membawa 13 atlet dari Thailand, lima atlet dari Filipina dan 10 atlet dari Myanmar.

Laporan itu berkata kesemua atlet telah sampai ke lokasi yang dituju menggunakan bas ganti.

Kejadian dipercayai berlaku apabila bas paling hadapan menekan brek secara tiba-tiba untuk mengelak sebuah motosikal.