Mungkin ramai dalam kalangan generasi muda hari ini tidak pernah merasai pengalaman menggunakan perkhidmatan bas mini?

Namun, selepas 21 tahun dihentikan perkhidmatan, bas mini yang terkenal dengan jolokan “Miss Pinky” itu kembali dengan wajah baharu yang lebih segar dan mesra pengguna.

Sempena operasi percubaan dari hab Bukit indah ke Ampang Point yang bermula hari ini, Astro AWANI turut berpeluang meneroka keseronokkan menggunakan bas tersebut.

Masih mengutamakan ciri keselamatan dan sistem pembayaran elektronik seperti bas Rapid lain, bas mini tersebut mempunyai dua kategori iaitu berkapasiti 27 dan 31 tempat duduk penumpang.

Setakat 12 tengah hari tadi, Rapid Bus Sdn. Bhd. memaklumkan sebanyak 21 ‘trip’ telah beroperasi dengan menyaksikan kira-kira 200 penumpang menggunakan perkhidmatan tersebut. Gambar Astro AWANI

Kemunculan semula bas tersebut yang mampu menyelinap masuk ke kawasan sempit kerana saiznya yang pendek, nyata memberi keterujaan kepada pengguna pengangkutan awam di ibu kota.

Bagi Mas Syarifah Meor Hassan, 38, dia berasa cukup bertuah kerana menjadi antara penumpang terawal yang menggunakan perkhidmatan bas mini tersebut.

“Mula-mula saya naik bas tadi rasa teruja sebab biasa saya naik bas Rapid lain, dan ini pula lain (bentuk). Saya ingat tersalah (naik bas) tadi.

“Keadaan dalam bas mini selesa kerana kedudukan kerusi tinggi dan mempunyai pendingin hawa. Biasanya bas lama, tempat duduk penumpang bergerak ke depan dan belakang, jadi ia menyebabkan (penumpang) pening,” katanya ketika ditemui Astro AWANI, pada Ahad.

Sementara itu, pemandu bas mini, Abdul Khalid Kassim berkata, pengalaman memandu bas mini pada era 90-an sangat berbeza berbanding sekarang kerana ketika itu bas awam berkenaan dikendalikan menggunakan gear manual.

“Perkhidmatan bas mini bagus kerana saiznya yang kecil dan ini membolehkan perjalanan lebih cepat.

“Kalau bas mini dulu, keadaannya panas dan penumpang perlu pasang kipas sendiri. Berbeza dengan sekarang, kenderaan tersebut sudah dilengkapi dengan pendingin hawa dan gear pula automatik,” ujarnya yang berpengalaman lebih 20 tahun menjadi pemandu bas.

Setakat 12 tengah hari tadi, Rapid Bus Sdn. Bhd. memaklumkan sebanyak 21 perjalanan telah beroperasi dengan menyaksikan kira-kira 200 penumpang menggunakan perkhidmatan tersebut.

“Bagaimanapun, jumlah penumpang dijangka meningkat pada Selasa ini (3 September) apabila sekolah dibuka semula dan orang ramai mula bekerja selepas cuti panjang tiga hari,” kata Rapid Bus dalam satu kenyataan, hari ini.

Bas mini mula diperkenalkan pada 1975 sebelum perkhidmatan itu ditamatkan pada 1998 selepas pihak berkuasa menggabungkan perkhidmatan pengangkutan awam di ibu negara.

Tempoh percubaan bermula dari 1 September hingga 29 November ini di Route T300 dari hab Bukit Indah ke Ampang Point, menerusi Jalan Rasmi dengan menggunakan bas mini baharu bersaiz lapan meter (m) panjang.

Bas tersebut dijangka beroperasi dengan kekerapan 15 minit (waktu puncak) dan 25 minit (luar waktu puncak) dari 5:30 pagi hingga 11:40 malam.