Seramai 10 pelajar keturunan orang asli cedera selepas bas sekolah dinaiki terjunam ke gaung di Jalan Utama Kampung Penderas dekat Kuala Krau, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa terdiri pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Krau dalam perjalanan pulang ke Kampung Pian dekat Kuala Krau.

Seorang mangsa, Elkyka Liew a/p Liew Meng Chong, 14, dari Kampung Pian, Kuala Krau parah dan menerima dirawat di Unit Kritikal Hospital Sultan Haji Ahmad Shah.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Zundin Mahmood berkata, siasatan awal mendapati identiti pemandu bas belum dikenal pasti.

Menurutnya, bas berkenaan dipercayai mengalami masalah teknikal.

"Situasi itu menyebabkan bas terbalik dan menggelongsor ke dalam gaung.

"Seorang penumpang cedera parah dan dibawa ke hospital manakala penumpang lain cedera ringan dan menerima rawatan pesakit luar di Klinik Kesihatan Kuala Krau," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah, jumlah penumpang belum dikenal pasti kerana sebahagian mereka pulang ke rumah masing-masing dan tidak menerima rawatan di klinik atau hospital terbabit.

"Usaha mengesan pemandu bas dan saksi kejadian diteruskan bagi membantu siasatan.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," ujarnya.