Tiga belas pelancong warga Singapura dan seorang pemandu bas persiaran cedera selepas bas berkenaan terbabit dalam kemalangan di Km31.3, Lebuh Raya KL-Karak, dekat Bukit Tinggi, kira-kira 4.17 petang tadi.

Jurucakap Bomba dan Penyelamat Selangor yang dihubungi Bernama berkata bas berkenaan dalam perjalanan menuju ke ibu negara dari pusat peranginan Genting Highlands dipercayai hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar tembok dan terbalik.

"Sebuah jentera bersama tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Selayang bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan daripada orang awam pada pukul 4.20 petang.

"Semua mangsa yang cedera telah dibawa ke empat hospital iaitu Hospital Kuala Lumpur, Hospital Sungai Buloh, Hospital Bentong serta Hospital Selayang," katanya.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata kemalangan itu menyebabkan kesesakan sepanjang sembilan kilometer.

"Kemalangan ini telah menghalang semua lorong utama, hanya lorong kecemasan sahaja dibuka. Usaha mengalihkan kenderaan (bas) sedang dilakukan," katanya.

Semua 14 mangsa cedera insiden bas terbalik di Lebuhraya KL-Karak dihantar ke hospital