Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jelas menunjukkan dana yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak bukanlah datang dari syarikat pelaburan IMDB tetapi daripada keluarga Diraja Saudi sebagai 'derma' Najib.

Namun, media sosial asing dan tempatan, akhbar tabloid luar negara, parti pembangkang mahupun sekelompok individu yang mampu mempengaruhi persepsi rakyat terus menimbukan pelbagai tohmahan dan spekulasi malah memperlekehkan integriti serta kredibiliti Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali kononnya menolak syor-syor tindakan SPRM untuk melindungi pihak yang melakukan kesalahan.

Di negara ini, jawatan Peguam Negara adalah lantikan yang dibuat tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Peguam Negara untuk membuat keputusan menurut budi bicaranya.

Peguam Negara juga membuat keputusan berdasarkan fakta dan pertimbangan yang sewajarnya merujuk kepada laporan siasatan yang dikemukakan.

SPRM juga tidak berkuasa untuk mencadang sebarang tindakan penguatkuasaan.

Keputusan untuk mengambil apa sahaja tindakan terletak sepenuhnya kepada bidang kuasa Peguam Negara namun, menurut Akta SPRM 2009, SPRM boleh merujuk arahan dan keputusan Peguam Negara kepada Panel Penilaian Operasi (PPO) SPRM di mana ahlinya terdiri daripada orang-orang profesional dari agensi kerajaan dan bukan kerajaan termasuk media dan Badan Majlis Peguam Negara.

Jadi, rujukan keputusan Peguam Negara kepada PPO oleh SPRM telah dijadikan alasan untuk mengelirukan dan menimbulkan persepsi di kalangan rakyat kononnya Peguam Negara cuba melindungi sebarang pihak dari kesalahan.


Tohmahan luar

Sehubungan itu, sebuah tabloid yang dikeluarkan di United Kingdom, Financial Times, menyiarkan artikel bertajuk 'The threat Najib poses to Malaysia’s reputation' mendakwa Malaysia dijangka akan menghadapi 'defisit keyakinan' di kalangan rakyatnya kononya Peguam Negara melepaskan Najib daripada tuduhan dana 1MDB dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.

Laporan itu juga dikesan mengaitkan bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kononnya dipenjarakan kerana hampir mengalahkan kerajaan kepimpinan Najib pada PRU ke-13 yang lepas.

Tabloid itu juga melaporkan sokongan warga bukan Melayu terhadap kerjaan kepimpinan Najib kian merosot. Ia disusuli siaran media dan portal berita asing yang menimbulkan pelbagai tafsiran serta tanggapan di kalangan rakyat Malaysia terhadap kepimpinan kerajaan.

Persoalannya, apakah benar rakyat Malaysia menghadapi 'defisit keyakinan' seperti dilaporkan Financial Times?

Bagaimana pula dengan rekod Malaysia sebagai salah satu negara ekonomi dunia yang mencatatkan prestasi terbaik untuk tempoh lima tahun berturut-turut?


Status ekonomi negara

Sehubungan itu, ketiga-tiga firma penarafan terkemuka dunia seperti Standard & Poors, Moody’s Investors Services dan Fitch Ratings sepakat mengeluarkan laporan bahawa Malaysia mempunyai asas ekonomi yang kukuh dan tidak menghadapi sebarang krisis walaupun diakui berdepan persekitaran ekonomi global yang mencabar.

Selain itu, baru-baru ini juga, pasukan International Monetary Fund (IMF) turut menyiarkan laporan di dalam portalnya yang bertajuk 'Favourable Prospects For Malaysia’s Diversified Economy' berdasarkan bertemuan dan kajian ahli ekonomi IMF yang terdiri daripada pegawai-pegawai kanan kerajaan Malaysia, Bank Negara, wakil-wakil komuniti perdagangan dan perniagaan, kumpulan pemikir, ahli-ahli akedemik di KualaLumpur.

IMF turut mengakui ekonomi mikro dan kewangan Malaysia dalam landasan yang kukuh dan stabil. Kerajaan dengan polisi-polisi strategik ddengan berhemah telah menguruskan kewangan negara untuk menghadapi pelbagai cabaran seperti masalah kejatuhan harga komodi dan minyak dalam pasaran dunia, kekurangan permintaan dunia, implikasi ekonomi negara China, aliran pengeluaran modal serta pelbagai persepsi terhadap politik dalam negeri.

Ia sekali gus bermakna, IMF menjangkakan walaupun kedudukan ekonomi global tidak stabil dan pendapatan negara daripada hasil minyak dijangka menyusut lebih RM 30 bilion, negara masih mampu mencapai matlamat mengukuhkan struktur ekonomi supaya dapat mempastikan pertumbuhan ekonomi sebanyak 4.4 peratus pada tahun 2016.

Sehubungan itu, indikator ekonomi lain seperti prestasi kadar inflasi, KDNK dan GDP didapati amat memperangsangkan. Pendapatan per kapita turut meningkat ke RM 33,385.

FDI Malaysia juga terus meningakat dari RM 31.118 bilion pada tahun 2012 kepada RM 38.8 bilion pada tahun 2013 seterusnya kepada RM 39.6 bilion pada tahun 2014.

Kadar defisit fiskal negara secara beransur-ansur juga berkurang daripada 6.7 peratus pada tahun 2009 kepada 5.3 peratus pada tahun 2010, 4.7 peratus pada tahun 2011, 4.3 peratus pada 2012, 3.8 peratus pada 2013, 3.4 peratus pada 2014 terus turun kepada 3.2 peratus pada tahun 2015.

Negara yang defisitnya sekitar 4 peratus atau kurang tiberi status sebuah negara yang ekonominya kukuh dan selamat selain rezab antarabangsa pula terus kekal pada 418 bilion pada tahun 2015.

GDP perdagangan juga didapati meningkat daripada jumlah nilai RM 400 bilion pada tahun 2009 kepada RM 877 bilion hari ini. Dalam pada itu, dalam konteks peningkatan pendapatan dan kemampuan beli rakyat, 1.8 juta peluang pekerjaan diwujudkan, kadar pengganguran dikurangkan kepada 0.6 peratus berbanding 3.8 peratus pada tahun 2009.

Kadar kemiskinan pula menyusut kepada 1.7 peratus malahan kemiskinan tegar telah hampir disifarkan. Bank Pembangunan Asia (ADB) mengumumkan bahawa Malaysia mencatatkan penurunan 55.3 peratus bagi peratusan penduduk yang hidup di bawah pendapatan garis kemiskinan.

Ia merupakan penurunan terbesar dalam kalangan negara-negara ASEAN. Malah pendapatan purata bulanan sekeluarga rakyat juga didapati semakin meningkat iaitu daripada RM 2,007 sebulan pada tahun 2013 kepada RM 2,300 sebulan pada tahun 2015.

Berdasarkan statistik prestasi ekonomi negara, laporan kononya rakyat Malaysia menghadapi defisit keyakinan terhadap kerajaan kepimpinan Najib tidak timbul malah tidak masuk akal malah rakyat Malaysia kini didapati hidup aman, damai dan sejahtera hasil kejayaan pelan transformasi ekonomi (ETP), kerajaan (GTP) dan politik (PTP) yang diperkenalkan kerajaan Najib.

Pada hemat saya, rakyat tanpa mengira kefahaman politik, perlu mempertahankan kepimpinan negara yang menjadi sasaran tohmahan serta tuduhan liar orang asing yang jelas didorong misi meraih keuntungan jutaan ringgit selain terus dengan misi menjalankan proganda pembohongan dalam media sosial dan tabloid untuk membantu sesuatu kumpulan tertentu mencapai agenda politik mereka.



M.Periasamy merupakan penganalisis politik dan pensyarah komunikasi strategik di Institut Penerangan dan Penyiaran Tun Abdul Razak (IPPTAR)


Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.