Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyambut baik keputuan kerajaan untuk tidak meneruskan usaha menggabungkan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Presidennya Adnan Mat berpandangan keputusan itu tepat memandangkan kedua-dua institusi itu mempunyai identiti dan fokus pembelajaran tersendiri dan berbeza walaupun matlamat utama melahirkan modal insan yang berdaya saing adalah sama.

Beliau berkata sejak cadangan penggabungan dibuat oleh kerajaan sebelum ini, pihaknya menerima pelbagai aduan dan keluhan risau daripada penjawat awam, termasuk kakitangan akademik, mengenai kebajikan dan nasib mereka sekiranya penggabungan itu dilakukan.

"Ada yang bimbang ditamatkan kontrak, diletakkan di jabatan yang tidak sesuai serta diberhentikan kerja. Cuepacs yakin keputusan untuk tidak meneruskan penggabungan itu mampu melonjakkan lagi semangat dan motivasi kerja kesemua penjawat awam termasuk barisan kakitangan akademik dan bukan akademik bagi mencipta lebih banyak kejayaan kepada negara," katanya.

Katanya Cuepacs berharap kerajaan pada masa akan datang terus mendengar suara hati dan pandangan semua pihak terutama pemegang taruh dalam setiap keputusan dan perancangan yang mahu dilaksanakan.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad hari ini dipetik sebagai berkata penggabungan antara UMT dan UniSZA tidak akan diteruskan setelah mengambil kira beberapa faktor dan cabaran semasa, antaranya fokus tujahan yang ketara, penyelarasan fakulti akademik dan institusi penyelidikan sedia ada.

-- BERNAMA