Polis petang ini gagal mendapatkan permohonan lanjutan tahanan reman keatas bekas presiden Majlis Peguam Datuk Ambiga Sreenevasan dan tiga pemimpin Pakatan Rakyat yang ditahan selepas perhimpunan Hari Pekerja membantah cukai barang dan perkhidmatan (#BatalGST) di Kuala Lumpur semalam.

Majistret Zuriani Abdul Razak membebaskan Ambiga, Setiausaha Pengelola DAP, Anthony Loke, Ahli Jawatankuasa Pusat PAS, Dr Hatta Ramli dan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia S. Arutchelvan selepas perbicaraan reman yang bermula sekitar jam 11:40 pagi tadi.

Kempat-empat aktivis itu telah ditahan sejak 9:30 malam Jumaat dan disiasat mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan.

Menurut peguam yang mewakili mereka, Gobind Singh Deo permohonan itu ditolak kerana Majistret melihat tiada kepentingan untuk melanjutkan tahanan reman dan anak-anak guamnya sedia menyerah diri pada bila-bila masa jika diminta pihak berkuasa.

“Atas sebab inilah pihak Majistret tidak meluluskan permohonan lanjutan reman tersebut ini kerana kita melihat tiada keperluan penahanan dibuat sekiranya anak-anak guam saya boleh bekerjasama pada bila-bila masa,” jelas Gobind.

BACA: Ribuan sertai perarakan #BatalGST 1 Mei

BACA: Polis tahan peserta dan aktivis #BatalGST

FOTO: Perarakan #BatalGST 1 Mei

Namun begitu, keempat-empat mereka diminta hadir ke Balai Polis Dang Wangi pada jam 4 petang ini bagi melengkapkan siasatan.

Gobind dan keempat-empat mereka itu ditemui sebaik sahaja mereka dibebaskan dari Lokap Berpusat Jinjang, Kuala Lumpur pada jam 2.30 petang tadi.

Sementara itu 23 peserta perhimpunan #BatalGST yang turut ditahan di Balai Polis Dang Wangi semalam dilanjutkan reman selama tiga hari dan enam lagi yang di bawah umur dibenarkan direman selama sehari.

Dianggarkan lebih 10,000 peserta berhimpun pada Hari Pekerja di hadapan bangunan KLCC semalam bagi menyatakan bantahan terhadap pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Perhimpunan yang dianjurkan kumpulan dari NGO Jawatankuasa Mei 1 itu bermula di beberapa lokasi di sekitar Kuala Lumpur termasuk Pasar Seni, Masjid Jamek, Sogo, Dataran Merdeka dan Masjid Negara sekitar jam 2.30 petang sebelum berarak dan berhimpun di hadapan KLCC dan bersurai sekitar 5.30 petang.