Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memberi amaran kepada penganjur perhimpunan dan perarakan Sarawak for Sarawakians (S4S) supaya membatalkan acara itu yang dijadual diadakan di Kuching pada Rabu "atas sebab-sebab keselamatan dan kemudaratan awam."

"Pihak polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan di bawah undang-undang sedia ada terhadap penganjur dan ahli-ahli jawatankuasanya demi menjaga kesejahteraan rakyat dan kedaulatan negara," katanya dalam satu kenyataan media.

Menurut Khalid, biarpun pihak polis sudah dimaklumkan mengenai perhimpunan dan perarakan itu selaras dengan kehendak undang-undang, pihaknya ada maklumat ada pihak merancang mahu menggunakan acara itu untuk membangkitkan sentimen rakyat Sarawak untuk keluar daripada Malaysia.

Kumpulan sama pada April lalu mengadakan tunjuk perasaan di Tebingan Kuching pada hari pertama persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak yang berlangsung di seberang tebingan itu. Mereka kemudian bersurai selepas satu perbincangan dengan pihak polis.

Pada perhimpunan itu juga, kumpulan tersebut mengumumkan rancangan mengadakan perhimpunan dan perarakan di Padang Merdeka pada 22 Julai. Kumpulan itu mendakwa akan menghimpunkan 5,000 warga Sarawak termasuk mereka yang menetap di luar negara.

Sarawak mencapai kemerdekaan pada 22 Julai 1963 sebelum kemudiannya bersama-sama Malaya, Sabah dan Singapura membentuk persekutuan Malaysia.

Media baru-baru ini melaporkan ada usaha sekumpulan aktivis untuk membentuk sebuah parti politik baru di Sarawak yang akan menggunakan slogan Sarawak for Sarawakians menjelang pilihan raya negeri.

Pilihan raya negeri Sarawak dijadual diadakan sebelum Jun 2016.