Netizen luah rasa kesal apabila peserta yang menyertai perhimpunan kesyukuran penolakan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) membawa kanak-kanak di beberapa lokasi.

Pada Jumaat, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim menasihatkan orang ramai untuk tidak membawa kanak-kanak dan mematuhi arahan pegawai polis.

Bagaimanapun, menerusi pencarian #Himpunan812 dan respon yang diberikan oleh netizen di platform media sosial, Astro AWANI mendapati masih ada ibu bapa yang membawa kanak-kanak turun berhimpun.

BACA: Ada ibu bapa yang bawa bayi, kanak-kanak ke Himpunan 812

BACA: Perhimpunan ICERD: 6 jalan utama ditutup

LAPOR LANGSUNG: Perkembangan Himpunan 812

Perbuatan itu jelas melanggar syarat perhimpunan mengikut Seksyen 4 (2)(f) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana membawa bayi dan kanak-kanak ketika berhimpun dalam acara seumpamanya.

Sehubungan dengan penganjuran perhimpunan itu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meminta penganjur perhimpunan tersebut supaya memberikan kerjasama dan membantu polis serta pihak berkuasa.

"Penganjur perlu membantu pihak polis dan pihak berkuasa yang lain demi memastikan tidak berlaku kekacauan atau kerosakan ke atas harta benda awam.

"Jika boleh, jangan buang sampah di merata-rata dan jagalah kebersihan. Saya doakan agar perhimpunan itu berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan," katanya menerusi video yang dimuat naik di laman sosial beliau.