Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengakui tidak memaklumkan kepada menteri bertanggungjawab susulan keputusan Kerajaan Negeri Sabah untuk membawa masuk pekerja warga asing dari Republik China.

Bagaimanapun, Mohd Shafie berkata perkara itu telah dimaklumkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan meminta jabatan itu menyelaraskan perkara tersebut di peringkat Persekutuan.

Tidak mahu isu itu diperbesarkan, Mohd Shafie berkata ia perlu diselesaikan dengan baik demi kebaikan semua.

“Saya telah maklumkan…waktu itu ada daripada JIM ada bersama dan saya telah maklumkan kepada pihak mereka.

“Saya telah meminta Setiausaha Kerajaan Negeri untuk berhubung Kerajaan dengan Kerajaan (G2G) memaklumkan kepada mereka tentang perkara ini.

“Mungkin saya tidak hubungi menteri dia (Menteri Dalam Negeri), tetapi JIM ada di situ dan kita minta supaya ia diselaraskan.

“Apa yang penting, kita tahu masalah dan kita selesaikan masalah,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Pada 1 Julai lalu, Kerajaan Sabah membenarkan semua perjalanan masuk ke Sabah sama ada melalui udara, darat dan laut kepada pekerja warga asing dari Republik China berkuatkuasa serta-merta.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam reaksinya berkata perkara itu tidak dibincangkan di peringkat Pusat.

Jelas Mohd Shafie, keputusan itu terpaksa diambil ekoran banyak pembangunan di Sabah tertangguh kerana ketiadaan pekerja dari China.

“Ada projek-projek di Sabah ini yang terbantut kerna mereka belanja dan mereka melabur dan tunggu untuk dibina.

“Mereka perlukan pas masuk kerana ada antara mereka merupakan jurutera, pakar teknikal yang kita perlukan.

“Mereka ini perlu ada untuk negeri Sabah, kalau tidak nanti projek bangunan atau landasan kereta api yang ada tidak akan berjalan,” katanya.

Nafi mengabaikan keselamatan dan nyawa rakyat Sabah, Mohd Shafie berkata Sabah adalah negeri terawal mengumumkan tidak membenarkan rakyat China masuk sejak penularan wabak COVID-19.