Tutup

Bawa masuk FDI bukan macam pergi pasar

Bawa masuk FDI bukan macam pergi pasar
Semua pihak perlu melihat keikhlasan Dr Mahathir mahu melihat kesejahteraan masa depan keseluruhan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum ataupun agama. -Gambar Hiasan
NEGARA mencatatkan pelaburan langsung asing (FDI) yang diluluskan dalam semua sektor sebanyak RM29.3 bilion bagi suku pertama 2019.

Angka itu menunjukkan peningkatan 73.4 peratus berbanding RM16.9 bilion yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

Kenaikan 73.4 peratus bagi suku pertama tahun ini disumbangkan oleh peningkatan pelaburan yang ketara sebanyak 127 peratus ke dalam sektor pembuatan kepada RM20.2 bilion daripada RM8.9 bilion pada tahun lepas.

Daripada RM20.2 bilion FDI yang diluluskan tersebut, RM11.5 bilion disumbangkan Amerika Syarikat, RM4.4 bilion dari China dan RM2.2 bilion dari Singapura.

Pencapaian itu sekali gus menjadikan negara destinasi pelaburan menarik memandangkan peningkatan jumlah stok FDI sebanyak 10.3 peratus kepada RM667.5 bilion pada suku kedua 2019 berbanding dengan RM605.1 bilion yang direkodkan pada tahun sebelum ini.


Kenapa emosi

Selepas pelbagai angka memberangsangkan mengenai FDI, masih ada pihak yang begitu emosional dan tetap konsisten mengkritik Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tuduhan Naib Presiden Parti Putra, Datuk Hamidah Osman yang menyifatkan pemergian Dr Mahathir ke luar negara dan dilihat gagal membawa pulang sebarang pelaburan setelah berjuta-juta ringgit dikeluarkan kerajaan benar-benar mengecewakan.

Tuduhan itu turut mendakwa aset negara telah banyak dijual namun rakyat masih gagal menikmati hasil daripada penjualan itu.

Sikap itu berlainan benar sewaktu Hamidah bersama berjuang di dalam Deklarasi Rakyat yang mendedahkan penyelewengan kerajaan terdahulu.

Pada masa itu, Hamidah begitu lantang mengkritik kerajaan yang telah memecatnya dari UMNO
kerana melampaui batas.
Namun, selepas dilantik menjadi Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Hamidah amat menyokong perjuangan Dr Mahathir.

Bagaimanapun, keadaan berubah apabila Hamidah keluar meninggalkan Bersatu. Bermula saat itu, wadah perjuangan Bersatu yang selama ini dipuji dikecam sekelip mata.

Dahulu semuanya baik tetapi kini terus berubah. Dahulu mereka mengagungkan perjuangan Dr Mahathir
tetapi kini mencaci pula tokoh negarawan terulung terutama dalam isu FDI.

Tahukah Hamidah, sebelum ini Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mengumumkan bahawa FDI yang diluluskan di semua sektor meningkat sebanyak 97.2 peratus kepada RM49.5 bilion dalam separuh pertama 2019 daripada hanya RM25.1 bilion yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun lepas.

Apapun pendirian Hamidah, rakyat kini hanya senyum sinis melihat gelagatnya yang mempertikaikan beberapa lawatan rasmi Dr Mahathir ke luar negara sebelum ini.

Rakyat faham usaha Dr Mahathir ke luar negara adalah untuk kepentingan negara dan sentiasa berusaha mengembalikan kegemilangan negara.

Tentu ia mengambil masa dan bukan boleh dibawa pulang keuntungan segera seperti membeli barangan basah dari pasar pagi.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Md Farid Md Rafik sebelum ini memaklumkan, pada tahun lalu, lawatan rasmi ke luar negara Dr Mahathir mencatatkan perbelanjaan lebih RM14 juta.

Jumlah itu melibatkan 22 lawatan sepanjang tahun lalu.

Sementara pada April tahun ini kerajaan telah membelanjakan RM12.7 juta bagi lawatan rasmi anggota Kabinet ke luar negara antara Mei dan Disember 2018 yang meliputi 31 perjalanan.

Dr Mahathir membuat lawatan rasmi ke Jepun sebanyak dua kali pada November tahun lalu dan Mei lalu, United Kingdom pada Jun, Turki pada Julai dan Vietnam sebelum ini.

Konsisten

Perjuangan politik mereka yang tidak konsisten dengan usaha Dr Mahathir membina semula negara benar-benar dikesali.

Tidak kira dari mana, parti apapun namun semua pihak perlu melihat keikhlasan Dr Mahathir mahu melihat kesejahteraan masa depan keseluruhan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum ataupun agama.

Pada usia 94 tahun, Dr Mahathir tiada kepentingan peribadi langsung tetapi teras pejuangan semata-mata untuk menaikkan semula prestasi negara dan meletakkan Malaysia semula sebagai Harimau Asia yang dihormati oleh seantero dunia.

Ramai kalangan khususnya pihak di luar kerajaan masih tidak mahu mengakui apa yang kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang sudah serta sedang usahakan untuk memperbaiki kerosakan negara yang paling buruk dalam sejarah pentadbiran negara.

Kerajaan kleptokrasi yang lepas telah memusnahkan negara pada tahap yang amat parah.

Kerosakan yang terlalu besar dalam segenap segi bukan mudah untuk diperbaiki secara sekelip mata.

Namun kini, keseluruhan rakyat sudah nampak secara jelas bahawa institusi kerajaan telah berjaya dipulihkan sehingga dapat berfungsi secara bebas bukan lagi mengikut telunjuk ‘eksekutif’ secara salah guna kuasa sepertimana pada waktu rejim kerajaan kleptokrasi dahulu.

Keadaan ekonomi negara dari sudut makro serta mikro sedang diperbaiki secara terbaik mungkin untuk meletakkan asas ekonomi di atas landasan yang betul semula.

Semua kontrak-kontrak kerajaan yang diberikan pada pihak swasta pada kadar harga yang dinaikkan secara tidak logik melebihi paras harga sebenar telah berjaya diperbetulkan oleh Kementerian Kewangan pada hari ini.

Begitu juga dengan projek-projek negara yang dianugerahkan kepada pelabur luar dengan kadar harga yang tinggi seperti projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) telah berjaya dirunding semula seterusnya dikurangkan harga berbilion ringgit.


Pikul beban

Kerajaan hari ini sentiasa berusaha membantu meningkatkan taraf hidup rakyat dengan pelbagai platform kemahiran tempatan dan teknologi melalui perkongsian kepakaran dalam pelbagai bidang.

Ia sekali gus mempunyai nilai tambah yang tinggi dan yang penting sekali, memastikan bahawa negara mampu mencapai matlamat utamanya iaitu bebas dari perangkap jurang pendapatan.

Masakini, kerajaan PH yang memikul semua bebanan penyelewengan negara terpaksa memberi tumpuan untuk meletakkan asas sistem pentadbiran negara mengikut peraturan yang termaktub di bawah undang-undang mengikut perlembagaan secara tulen.

Kedudukan ekonomi negara kini berada di landasan yang baik tetapi pihak pembangkang secara sengaja menggembar-gemburkannya secara negatif.

Namun ia biasa kerana tugas pembangkang pada hari ini adalah memberi gambaran salah kepada rakyat agar reputasi PH rosak dan pada PRU15 kelak mereka boleh menang seterusnya mengambil alih pentadbiran negara.

Situasi ini amat normal dalam bidang politik tetapi kita bersyukur kerana pada hari ini, keseluruhan rakyat semakin yakin dengan daya usaha kerajaan PH yang diterajui Dr Mahathir untuk membina semula Malaysia baharu.



* Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan adalah Penyelaras Parlimen Jasin.

**  Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.