Tutup

Bawa modal, teknologi, peluang pekerjaan, bukan beli tanah - Tun Mahathir

Bawa modal, teknologi, peluang pekerjaan, bukan beli tanah - Tun Mahathir
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (tiga,kiri) bersama Presiden China, Xi Jinping (dua,kanan) ketika mesyuarat dua hala di Diaoyutai State Guest House, hari ini. - Foto Bernama
BEIJING: Syarikat luar yang ingin melabur di Malaysia wajar membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan, tegas Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri menetapkan, pelaburan langsung asing (FDI) hanya terhad untuk syarikat luar melabur dan membawa teknologi ke Malaysia.

"Saya tekankan (kepada Kerajaan China) bahawa FDI bermakna membawa masuk modal, teknologi dan mendirikan kilang di Malaysia menggunakan tenaga orang Malaysia untuk menghasilkan barangan bagi pasaran tempatan atau eksport.

"Itu yang dimaksudkan dengan FDI. Ia tidak bermakna membeli tanah di Malaysia untuk mendirikan bandar-bandar baru. Kita tidak perlukan FDI untuk perkara itu," jelasnya pada sidang media sempena hari terakhir lawatannya ke China di sini pada Selasa.

Jelas Dr Mahathir, beberapa pelaburan asing sebelum ini telah merugikan rakyat dan negara.
"Saya telah tekankan kepada China, bahawa apabila kita ke China, kita ikut undang-undang dan peraturan mereka. Apabila mereka ke Malaysia, mereka mesti mengikut peraturan, syarat dan undang-undang Malaysia.

"Kita ada banyak FDI sebelum ini. Namun perkara ini berlaku disebabkan oleh kerajaan terdahulu lepas pandang amalan sebelum ini termasuk memeterai perjanjian yang bertentangan dengan kehendak kita," tambahnya.
Dalam lawatan ke China kali ini, beliau turut mengadakan pertemuan dengan Persatuan Usahawan China yang diketuai oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulan Alibaba, Jack Ma.

Ia sebahagian usaha beliau untuk menarik lebih banyak pelaburan asing ke Malaysia dengan mengikut syarat dan peraturan yang ditetapkan bagi manfaat bersama.