Kerajaan akan memperluaskan penggunaan Tabung COVID-19 di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi membantu membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yakoob berkata, ini kerana, Kementerian Luar telah mengenal pasti seramai 10,484 rakyat Malaysia yang terkandas serta berpotensi untuk terkandas di luar negara atas beberapa faktor.

“Maksud berpotensi terkandas adalah seperti pelajar tahun akhir yang akan habiskan pengajian tidak lama lagi, dan mereka perlu pulang. Jika mereka tidak boleh pulang, mereka akan jadi rakyat kita yang terkandas.

"Oleh itu, antara faktor dan kekangan termasuk peraturan di negara-negara berkenaan yang melarang pesawat asing untuk mendarat di negara terbabit.

"Sehubungan itu, kerajaan sedang berusaha untuk memudah cara kepulangan rakyat Malaysia yang terkandas," katanya dalam sidang media di sini pada Isnin.

Kutipan Tabung COVID-19 yang dilancar sebelum ini adalah bagi membantu mereka yang terkesan dengan jangkitan virus itu, iaitu mereka yang menjalani pemantauan di rumah selama 14 hari atau rawatan di hospital ekoran positif COVID-19.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKPP) juga telah meminta Kementerian Luar membentangkan status rakyat Malaysia yang berada di luar negara yang dianggarkan berjumlah 457,000 orang.

"Daripada jumlah itu, seramai 387,702 individu telah berdaftar dengan perwakilan-perwakilan Malaysia, dan menyeru rakyat yang masih belum berdaftar untuk segera berbuat demikian.

"Dalam masa sama, kita juga meminta Kementerian Luar mengemukakan perancangan serta kos bagi proses repratriasi rakyat Malaysia di luar negara.

“Kita prihatin terhadap rakyat Malaysia yang terkandas kerana ada sesetengah negara melibatkan negara berisiko tinggi dan ini membimbangkan kita,” katanya.